Dasar, polisi ta’awun PAS-Umno diputus JK Khas

BANGI: Dasar dan polisi kerjasama ta’awun antara PAS dan Umno diputuskan oleh Jawatankuasa Perunding dengan mandat Majlis Syura Ulamak PAS dan PAS Pusat.

Advertisement

Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman menegaskan, pihak PAS Negeri tidak mempunyai sebarang autoriti membuat keputusan dan rundingan dasar mahupun strategi politik.

Perkara tersebut jelasnya, berasaskan Empat Garis Panduan Kerjasama Politik yang telah dinyatakan oleh Timbalan Presiden PAS semasa Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-65 di Pahang pada Jun lalu.

Ta’awun ni longgar, tahaluf mengikat. Non binding agreement antara kita (PAS) dengan Umno sekarang ini. Kalau dulu, wujud satu perjanjian dalam ikatan dan pakatan.

“(Tahaluf) mengikat kita, ada struktur dan sebagainya, itu tahaluf,” jelasnya pada majlis Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden yang dilangsungkan di Dewan Seri Kasih, Bandar Tun Hussein Onn, di sini semalam.

Terdahulu beliau membentangkan pemahaman mengenai konsep ta’awun dan tahaluf berdasarkan 5 Prinsip Muafakat Politik yang digariskan dalam Ucapan Dasar Presiden PAS.

Manakala menyentuh mengenai program bersama demi mengukuhkan perpaduan ummah, beliau menyatakan bahawa perkara itu sangat digalakkan kerana ianya kejayaan dakwah.

Peringatnya juga, ahli PAS mesti menghormati dasar parti dan tidak terlibat urusan dalaman organisasi parti lain, namun perlu mengambil peluang membuat pengisian, ceramah atau tazkirah bila dijemput.

Seru Syahir juga, ahli PAS perlu bersedia untuk merealisasikan konsep memimpin perpaduan sesama umat Islam dan bukan Islam, namun menjaga wala’, taat dan ukhuwah agar tidak hilang kekuatan.

Beliau juga menyentuh tiga cabaran dihadapi PAS dalam memimpin perpaduan iaitu kefahaman, kompetensi sebagai ‘kerajaan menunggu’ dan komitmen.

“Tuan Guru melantik orang bukan sebab nama, tetapi kompetensi dan keperluan semasa. Kalau zaman perang, kita guna panglima perang. Kalau zaman DAP, kena lantik orang yang boleh hadapi DAP.

“Kalau nak cerita komitmen dan letih, ana pun tak tergamak tak pergi program sebab tengok diari Ayah Chik (Presiden PAS) lagi banyak program,” ujarnya membangkitkan semangat hadirin. – HARAKAHDAILY 31/7/2019