Institusi pendidikan PAS solusi masalah moral

BANGI: Peranan PAS membangunkan pendidikan yang memberi penekanan akidah telah menyumbang penyelesaian masalah moral dalam masyarakat di negara ini.
 
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, PAS walaupun sebagai sebuah parti politik, tetapi juga memiliki wadah pendidikan tersendiri.
 
“PAS punyai TASTI, PASTI, SRITI, SMITI. Kolej universiti pun kita ada. Inilah yang kita kena tonjolkan pada masyarakat. PASTI, di peringkat awal kita tekankan sudut akidah itu sendiri.
 
“Penekanan ini boleh menyelesaikan masalah moral yang berlaku dalam masyarakat hari ini,” ujarnya pada Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS anjuran PAS Kawasan Bangi di Bandar Tun Hussein Onn, di sini semalam.
 
Beliau mengambil contoh kesan positif ditunjukkan oleh pelajar PASTI terhadap ibu bapa mereka disebalik keadaan semasa menunjukkan masalah moral yang kritikal dalam kalangan kanak-kanak.
 
“Ada ibu bapa (kaum) Cina hantar anak ke PASTI di Kawasan saya. Bukan seorang (tetapi) adik-beradik mereka belajar di PASTI. 
 
“Bila ditanya, maknya kata ada sesuatu yang berbeza. Bila balik, cium tangan. Tak pernah anak cium tangan kecuali bila mereka belajar di PASTI,” ceritanya.
 
Sehubungan itu beliau menyeru seluruh ahli PAS menggembleng tenaga memperkenalkan institusi pendidikan PAS kepada masyarakat agar semua tahu bahawa PAS bukan parti politik semata-mata.
 
Beliau yakin dan berharap anak-anak yang dihantar ke institusi pendidikan kelolaan PAS dapat menjadi wadah penyampai keindahan Islam kepada masyarakat umumnya. – HARAKAHDAILY 31/7/2019
Advertisement