Randau Ruai PAS Bintulu cipta sejarah

BINTULU: Detik sejarah tercipta apabila PAS Kawasan Bintulu berjaya menjalankan program Randau Ruai yang menghimpunkan ahli-ahli lama dan baru Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Bintulu.
 
Program berkala setiap tiga bulan yang bertujuan untuk memberi kefahaman kepada masyarakat bukan Islam mengenai perjuangan PAS ini julung kali diadakan di Tatau, di sini semalam.
 
Program ini turut dihadiri pimpinan DHPP Pusat iaitu Dato’ K Deepakaran dan Tuck Wah Kong serta pimpinan PAS Negeri Sarawak yang diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee.
 
Dihadiri hampir 50 penduduk kaum Iban, program ini penting agar kesetiaan ahli parti tidak tergugat dengan adanya kefahaman yang jelas mengenai perjuangan PAS merentas agama dan bangsa.
 
Kerana cabaran politik persepsi serta menghasut pada hari ini memerlukan ahli parti yang memahami isu semasa dengan sudut pandang sama dengan pimpinan parti. 
 
Selain itu, program ini juga membuktikan komitmen PAS dalam menyatu padukan pelbagai kaum dan agama dan merungkai segala salah faham.
 
Seramai 20 ahli baru DHPP yang diwakili oleh Ketua DHPP Sarawak, Achau Mujah telah menyerahkan borang keahlian DHPP kepada Dato’ Deepakaran mewakili DHPP PAS Pusat.
 
“Saya suka PAS kerana perlembagaannya al-Quran dan al-Sunnah, undang-undangnya tetap dan tidak berubah-ubah. Bukan undang-undang yang dibuat oleh manusia,” kata Naib Pengerusi DHPP Pusat itu.
 
Turut menarik perhatian adalah kehadiran warga tua bertongkat, Melayah Anak Laut yang masih dalam kesedihan kerana kehilangan anak saudaranya dua hari lalu, tetapi tetap bersemangat untuk hadirkan diri ke program ini. – HARAKAHDAILY 31/7/2019
IMG 20190731 WA0052
Advertisement