Jual atau ambil alih tanah Kg Baru merugikan

PEMILIK dan waris tanah di Kampung Baru menerima tawaran supaya menjual tanah mereka kepada Kerajaan Persekutuan sebagaimana yang telah diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB), Zulkurnain Hassan. (BH online 30 Julai 2019)

Advertisement

Namun, ironinya ia tidak menjelaskan bentuk tawaran serta nilai yang terlibat, sebaliknya mengatakan perkara tersebut akan diumumkan oleh Perdana Menteri dalam perjumpaan dengan pemilik dan waris tanah Kampung Baru yang dijadualkan akan berlangsung pada 21 September nanti.

Tambahan pula ia juga tidak melibatkan kesemua 121 hektar tanah di Kampung Baru. Tawaran tersebut hanya diberikan kepada pemilik tanah seluas 89 hektar dalam kawasan segitiga emas Malay Agriculture Settlement (MAS).

Apa yang menghairankan adalah tawaran tersebut hanya berdasarkan kepada hasil dapatan maklum balas PKB daripada 1,356 pemilik tanah berbanding dengan lebih dari 5,700 jumlah pemilik keseluruhannya. PKB mengandaikan persetujuan tersebut berdasarkan 1,193 daripada 1,356 pemilik tadi yang memberikan maklum balas bersetuju dengan cadangan pembangunan semula Kampung Baru, sedangkan hakikatnya ia hanya mewakili 21 peratus daripada jumlah pemilik keseluruhannya.

Pemilik dan waris tanah di Kampung Baru sebenarnya hanya diberikan dua pilihan sahaja; sama ada menjual tanah terus kepada kerajaan atau kerajaan akan mengambil alih menggunakan kaedah undang-undang pengambilan tanah berdasarkan peruntukan yang sedia ada.  

Malangnya, kedua-dua pilihan tersebut bukan sahaja mengakibatkan pemilikan tanah akan terhapus, bahkan sebenarnya tidak memberikan keuntungan kepada pemilik dan waris tanah. Wang jualan yang dibahagikan kepada puluhan (malah ratusan) pemilik dan waris tanah menjadi amat kecil yang akhirnya tidak memungkinkan mereka membeli hartanah yang dibangunkan sama ada di Kampung Baru sendiri atau di tempat lain.

Apa yang lebih membimbangkan ialah akan hilangnya status tanah orang Melayu di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur apabila ia telah diambil alih oleh Kerajaan sebagaimana yang dibenarkan dalam Akta Pengambilan Tanah. Secara automatiknya status tanah akan bertukar apabila telah menjadi milik Kerajaan.

Pada waktu yang sama, sekiranya tawaran tersebut dipersetujui pemilik dan waris tanah, Kerajaan sudah tentu perlu mendapatkan sumber bagi membiayainya. Kerajaan boleh memberi peruntukan geran khas tetapi ia agak sukar untuk dilaksanakan pada masa sekarang kerana kekangan sumber kewangan.

Pilihan yang ada ialah melalui penerbitan sukuk atau pembentukan konsortium oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Satu lagi cara yang lebih mudah ialah dengan mengundang para pelabur, sama ada tempatan atau asing.

Memandangkan senario mutakhir politik negara kita, tidak mustahil pengambilalihan milik tanah ini akhirnya akan menguntungan segelintir korporat yang rata-ratanya bukan dalam kalangan orang Melayu. Lebih malang lagi jika ia jatuh ke tangan pelabur asing yang mengakibatkan tanah warisan di Kampung Baru yang telah berusia lebih dari 100 tahun ini akan hilang begitu sahaja.

Kerajaan sepatutnya tidak perlu terburu-buru membuat keputusan dan bertindak. Keadaan pasaran hartanah yang amat lemah sekarang ini menyebabkan majoriti pemaju tidak begitu berminat untuk turut serta dalam usaha untuk membangunkan Kampung Baru. Hanya pemaju yang majoritinya bukan Melayu atau syarikat asing yang mempunyai sumber modal yang besar sahaja yang akan turut serta yang semestinya akan memberikan terma-terma yang banyak berpihak kepada mereka. Ia sudah tentu amat merugikan.

Peluang serta masa yang lebih luas  perlu diberikan kepada semua pemilik dan waris tanah untuk memberikan cadangan alternatif mereka selain daripada dua pilihan yang telah diberi.  Dalam masa yang sama usaha perlu diteruskan bagi mendapatkan pemaju yang tidak hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

Saya berkeyakinan terhadap para pemaju yang mempunyai hasrat mahu orang Melayu-Islam memaksimumkan hak pemilikan hartanah yang akan dibangunkan di Kampung Baru.

Langkah memberi kata dua kepada pemilik dan waris tanah jelas kelihatan lebih kepada agenda politik bagi menunjukkan seolah-olah kerajaan sekarang dapat memberikan solusi kepada permasalahan yang tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan terdahulu. Dalam waktu yang sama ia membolehkan pemaju dan peniaga yang berkepentingan mengaut keuntungan semaksimum mungkin hasil daripada pembangunan Kampung Baru.

“Islam Memimpin Perpaduan”

USTAZ AZHAR YAHYA
Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan
khamis, 29 Zulkaedah 1440 | 1 Ogos 2019– HARAKAHDAILY 1/8/2019