Pertahan kaligrafi dan jawi, tentang gesaan DAP

DEWAN Pemuda PAS Malaysia menzahirkan kebimbangan serta mengecam tindakan 138 pemimpin akar umbi DAP, termasuk 13 orang Adun yang membantah pengenalan tulisan khat dan seni kaligrafi dalam kurikulum Tahun 4 Bahasa Malaysia. Tindakan pimpinan-pimpinan DAP ini secara jelas tidak menghormati kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Advertisement

Tulisan khat dan seni kaligrafi adalah sebahagian dari seni keindahan tulisan Arab dan Jawi. Sekalipun ia bukanlah berasal dari tanah Nusantara, tetapi sejarah membuktikan tulisan khat dan jawi telah memberi kesan kepada perkembangan tamadun Kesultanan Melayu Melaka, malah menjadi asas kepada kewujudan bahasa Melayu yang menjadi Bahasa Kebangsaan di negara kita.

Kewujudan Batu Bersurat di Terengganu dan Melaka, serta manuskrip-manuskrip lama seperti manuskrip Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka yang ditulis dalam kaligrafi tulisan jawi, menjadi bukti bahawa tulisan jawi dan seni kaligrafi mempunyai peranan yang penting dalam perkembangan tamadun negara.

Secara tidak langsung, seni kaligrafi dan tulisan jawi telah menjadi sebahagian dari warisan yang wajib diketahui oleh generasi muda, dan mesti diperkenalkan melalui silibus pengajian di sekolah-sekolah. Tidak ada salahnya jika tulisan jawi dan seni kaligrafi diperkenalkan dan diajar kepada generasi muda, termasuk yang bukan Melayu kerana ia adalah sebahagian dari sejarah dan warisan kita.

Dewan Pemuda PAS Malaysia berasa hairan dengan sikap DAP yang berterusan membangkitkan ketidakpuashatian terhadap perkara yang melibatkan Islam dan Melayu. Ini jelas dibuktikan dalam surat bantahan tersebut, yang mengecam penggunaan tulisan jawi di papan-papan tanda di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Melaka. Malah, mereka secara jelas menentang cubaan memperkenalkan dan menginstitusikan tulisan jawi di Malaysia.

Adakah DAP sedang cuba mencipta permusuhan di kalangan masyarakat Melayu Islam yang merupakan penduduk asal serta majoriti di Malaysia?

Adakah DAP sedang menyemarakkan api perkauman?

Apa sebenarnya muslihat DAP menentang penggunaan tulisan Jawi, yang merupakan warisan serta sebahagian daripada keindahan Bahasa Melayu?

Kami menggesa supaya tindakan diambil ke atas 138 orang pimpinan DAP ini kerana cuba menyemarakkan api permusuhan dan perkauman dengan menentang penggunaan tulisan jawi dan seni kaligrafi ini.

Dewan Pemuda PAS Malaysia mengajak semua rakyat Malaysia untuk sama-sama mempertahankan tulisan jawi dengan menyokong usaha kerajaan memperkenalkan seni kaligrafi dalam Silibus Pendidikan, dan apa-apa sahaja usaha bagi memartabatkan tulisan jawi di Malaysia.

Rakyat Malaysia harus menentang segala tindakan perkauman oleh mana-mana pihak yang cuba menghalang usaha memartabatkan tulisan jawi. Tulisan jawi adalah sebahagian dari sejarah dan warisan kita, bukan sahaja untuk umat Islam dan bangsa Melayu, malah semua kaum di Malaysia.

“Demi Islam”

MUHTAR SUHAILI
Ketua Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia
1 Ogos 2019 – HARAKAHDAILY 1/8/2019