Amalnita hulur bantuan untuk mangsa kebakaran

KUANTAN: Amalnita Cawangan Pahang telah mengadakan kunjungan susulan menyantuni keluarga-keluarga mangsa kebakaran di Perkampungan Sungai Isap 2, di sini petang tadi.
 
Ziarah tersebut bagi menyampaikan bantuan dan mengemaskini perkembangan mangsa terlibat selepas tragedi menimpa semua keluarga berkenaan lebih seminggu yang lalu.
 
Semua sumbangan telah diserahkan oleh Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Amalnita Pahang, Rosmawati Bohari dan Nor Azni Wahab yang juga hadir sebagai memberi sokongan moral.
 
Sumbangan kali ini berupa barangan dan keperluan peribadi yang disediakan Amalnita berdasarkan makluman diperolehi dari pihak keluarga untuk memenuhi penggunaan harian mangsa.
 
Hasil bantuan pihak Masjid Sungai Isap 2 dan beberapa badan kebajikan lain, semua mangsa dan keluarga mereka dijangka akan berpindah sementara di rumah sewa di Taman Murni, di sini minggu hadapan.
 
Dalam kejadian kebakaran yang berlaku tanggal 22 Julai lalu, dua kediaman musnah sama sekali, selain turut mengorbankan seorang ibu bersama dua anaknya hingga mengundang pilu warga bandar ini. – HARAKAHDAILY 2/8/2019
Advertisement