Drama sampah: Institusi tahfiz dipalit lumpur hitam

FILEM dan drama adalah medium dan wahana untuk menyampaikan mesej, juga mesin propaganda yang efektif bagi menyihir cara berfikir khalayak. Justru itu kelompok Yahudi mendominasi industri perfileman Hollywood sejak awal  lagi markas seni itu beroperasi. Sehari dua ini industri seni negara ini bergelegak lagi  apabila promosi drama yang bertajuk “Demi Tuhan Aku Bersaksi” terbitan Prokuya Studios.

Advertisement

Drama yang mengangkat isu seputar persemburitan yang berlaku di institusi pendidikan al-Quran seolah menggambarkan sisi hodoh sekolah tahfiz yang kini pesat berkembang di seluruh negara. Apa motif penerbit drama ini? Ingin memberikan didaktik moral kepada khalayak atau sememangnya tolol, korup idea, selera pasar yang murah?

Tahukah kalian, disiplin untuk pelajar tahfiz tidak sama dengan sekolah arus perdana negara ini. Seawal pagi remaja di maahad tahfiz seawal pagi, berteleku di sejadah, mereka melazimi puasa sunat Isnin dan Khamis. Sebahagian masa mereka dalam sehari digunakan untuk belajar al-Quran serta mendalami ilmu–ilmu Islam, tanpa gajet dan peti TV sebagaimana remaja yang lain.

Anak-anak tahfiz dilatih menjaga pemakanan, mengawal penglihatan bahkan solat mereka dipastikan dengan takbir yang pertama! Mereka diasingkan tilam untuk tidur malam dan tak dibenarkan tidur berkongsi selimut. Begitu sekali ketatnya cara hidup mereka demi melahirkan generasi al-Quran sebagaimana sabda ar-Rasul SAW yang bermakud: “Semulia-mulia ummatku, ialah mereka yang memelihara al-Quran”.

Bayangkan Imej pelajar tahfiz yang berjubah, berserban, dengan guratan wajah bersih mulus dan sering bersama al-Quran ke mana-mana akan digambarkan dalam drama yang akan ditayangkan oleh RTM ini sebagai peliwat, peminat seks songsang dan sekali gus akan meremeh dan memfitnah keseluruhan nilai-nilai murni institusi pendidikan al-Quran.

Pastilah ramai pula nanti yang akan menjadi pembela kepada penerbit dan pengarah drama ini, kononnya pelajar tahfiz bukan malaikat yang hanya hanya perlu dilihat bersih suci. Pastilah seperti biasa mereka akan beralasan bahawa kes meliwat dan diliwat atau pemain LGBT berlaku di mana sahaja termasuk di tahfiz. Maka mengapa perlu sentap dan melompat!

Adalah sangat tidak adil untuk menghukum kes terpencil yang berlaku di tahfiz atau sekolah agama kerana kebiasaan kes LGBT ini berlaku di sekolah berasrama, bahkan kini akibat lambakan sampah sarap internet, remaja yang tidak tinggal di asrama juga terpalit dalam isu ini. Kanak-kanak belajar daripada orang dewasakan? Maka tak pelik isu LGBT ini semakin parah dan membarah. Disucikan lagi fahaman neo muktazilah yang menghalalkan perlakuan bejat begini. Seorang tokoh besar JIL pernah menyebut bahawa al-Quran tidak ada nas mengatakan homoseksual adalah haram, yang diharamkan oleh Allah adalah perzinaan.

Umat Islam wajib bangkit bersuara menolak drama ini dan kita merasa kepelikan pula bagaimana pihak RTM membenarkan persoalan drama sebegini pandir dan tidak sensitif dengan umat Islam. Jangan jadikan kebebasan berekspresi dan berkarya sebagai dalil yang menghalalkan drama sebegini. Tak cukupkah lagi wajah sejahtera Islam dilumur lumpur najis dengan filem dan drama yang menggambarkan Islam sebagai agama pengganas dan ekstremis? Kini kenistaan baru pula ditampal pada wajah Islam. – HARAKAHDAILY 2/8/2019

Penulis ialah Pengerusi LESTARI, Pengerusi Tahfiz an Nur Setiu dan an-Nur Besut.