Julung kali Kelantan anjur karnival sukan

KOTA BHARU: Seramai 2,150 atlet berusia antara sembilan hingga 20 tahun menyertai Karnival Sukan Kelantan (Kasukel) 2019 yang julung kali diadakan.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, mereka akan berentap dalam 17 jenis sukan diadakan di tiga jajahan iaitu Kota Bharu, Bachok dan Pasir Mas.

Katanya, bermula tahun hadapan akan diadakan di semua jajahan.

“Tahun ini kita anjurkan 17 daripada 34 acara sukan sahaja sebagai langkah pertama. Pegawai jajahan dilantik sebagai pengerusi bagi menggerakkan sukan di peringkat jajahan,” katanya ketika ditemui pada perasmian Kasukel 2019 di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) di sini semalam.

Perasmian Kasukel 2019 disempurnakan Menteri Besar Ustaz Dato’ Ahmad Yakob (foto atas). Hadir sama Speaker Dun Kelantan Dato’ Abdullah Yakob, anggota-anggota Exco, wakil rakyat dan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan, Muhammad Imran Mansoor.

Karnival yang bermula semalam sehingga 3 Ogos sebagai wadah untuk membuat pemilihan atlet berbakat bagi menyertai Sukma di Johor tahun hadapan. – HARAKAHDAILY 2/8/2019