Larangan solat Jumaat: Kerajaan tiada solusi?

KUALA LUMPUR: Peraturan yang melarang dan menyebabkan terhalangnya kewajiban solat fardu dilakukan pada waktu kerja bukan isu terpencil, malah tidak menjadi rahsia terutama solat Jumaat.
 
Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, perkara tersebut pernah beliau suara dan kemukakan soalan kepada Menteri berkenaan semasa Sidang Dewan Rakyat di Parlimen sebelum ini.
 
Namun kesali beliau, Menteri gagal memberi jawapan kepada soalan lisan termasuk bertulis yang dikemukakan berkaitan isu tersebut, sebaliknya sekadar menyatakan garis panduan berkaitan.
 
Sedangkan katanya, beliau mahu tahu usaha dan langkah kerajaan untuk memastikan perkara tersebut diatasi, selain pemantauan dan tindakan sekiranya segala ketetapan tersebut dilanggar oleh majikan. 
 
“Bila saya tanya, apakah tindakan kerajaan terhadap majikan yang tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan dengan tidak membenarkan pekerja Muslim Solat Jumaat? Jawapan Menteri “Kerajaan menyediakan garis panduan”. 
 
“(Isu sedang berlaku) Hari ini garis panduan telah dilanggar, (saya tanya lagi secara bertulis) apa tindakan kerajaan? Sekali lagi Menteri jawab bertulis, “kerajaan menyediakan garis panduan”.
 
“Ini menunjukkan pihak kerajaan memang tidak mempunyai jawapan dan tidak serius untuk menangani isu tersebut dalam memberi hak kepada pekerja Muslim,” bidasnya.
 
Beliau turut menzahirkan sokongan agar isu ini terus diketengahkan dan mengajak para pekerja yang berdepan masalah ini agar berani tampil membuat aduan atau menuntut hak melaksanakan kewajiban tersebut. – HARAKAHDAILY 2/8/2019
Advertisement