Pelaksanaan khat jawi uji Kerajaan PH

LANGKAH berani Kementerian Pendidikan Malaysia memperkenalkan dasar penulisan jawi dan tulisan khat di semua sekolah menjadi kayu ukur kekuatan Kerajaan PH mempertahankan dasar tulisan itu di sekolah-sekolah seluruh negara. 
 
Semua pihak sewajarnya melihat pengenalan dasar tulisan jawi dan khat ini dari sudut positif sebagai satu usaha untuk menyemarakkan penggunaan tulisan berkenaan serta sebagai pengenalan instrumen seni penulisan di kalangan para pelajar.
 
Penulisan jawi dan khat sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu kerana Bahasa Melayu tulisan jawi merupakan bahasa rasmi negara suatu ketika dahulu. 
 
Justeru itu, menjadi satu kepelikan apabila ada pihak-pihak tertentu yang membantah pengenalannya sedangkan bahasa dan tulisan berkenaan mampu menjadi alat menyatukan kaum dalam negara berbilang bangsa. 
 
Dalam hal ini, rakyat bakal melihat ketegasan Kerajaan PH menunaikan komitmen mereka menerusi keputusan Kementerian Pendidikan dengan pengenalan dasar tersebut. 
 
Apa yang diharapkan janganlah hanya seperti perumpamaan ‘hangat-hangat tahi ayam’, apabila  diasak oleh pihak tertentu, maka Kementerian Pendidikan pun mula mengendur.
 
Oleh itu PAS menghargai pihak terbabit yang berusaha mengangkat maŕtabat kedudukan Bahasa Melayu tulisan jawi kerana inilah perkara yang sering dibangkitkan oleh Presiden PAS saban tahun melalui Ucapan Dasar Muktamar.
 
DR AHMAD FAKHRUDDIN FAKHRURAZI
Timbalan Pengerusi
Lajnah Pendidikan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 3/8/2019

 
Advertisement