Bengkel Pemuda Perak rangka strategi menang

PADANG RENGAS: Bengkel Strategik Dewan Pemuda PAS Negeri Perak telah berjaya dilangsungkan di Markas PAS Kawasan Padang Rengas, bermula 3 Ogos lalu dan berakhir kelmarin.
 
Ia menghimpunkan semua pimpinan Pemuda PAS Perak dan Ketua Pemuda PAS Kawasan seluruh negeri ini bersama-sama Setiausaha masing-masing.
 
Ketua Pemuda PAS NPerak, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Puait membentangkan hala tuju strategi yang telah disepakati di peringkat pusat dengan menggariskan lima objektif.
 
Beliau melahirkan keyakinan tinggi kepada komitmen Pemuda PAS Perak sesi ini bagi menggerakkan pelbagai aktiviti dalam menjayakan strategi dan mencapai kemenangan.
 
Penyampaian watikah pelantikan kepada saf kepimpinan Pemuda PAS Perak dan semua 24 Ketua Pemuda PAS Kawasan turut disempurnakan oleh Ustaz Faisal.
 
Sebelum itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Hafez Sabri menegaskan bahawa kesatuan dalaman melalui Wehdatul Qulub, Wehdatul Fikr dan Wehdatul Amal akan memacu perjuangan.
 
“Kefahaman, ketaatan dan keikhlasan di kalangan pimpinan pemuda khususnya dalam membudayakan politik matang dan sejahtera pasti akan menguntungkan jemaah dan masyarakat kebanyakan,” pesannya.
 
Program pengukuhan organisasi pada kali ini turut menampilkan kelainan dengan mengadakan kuliah Subuh dengan Tazkirah 6 Mata dalam kolam renang disamping dilaksanakan perbincangan strategik.
 
Sementara itu, Naib Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Mohd Zahid Abu Bakar memberikan peringatan kepada para amilin mengenai integriti serta jati diri dengan asas keimanan dan amal soleh yang mesti diberi perhatian serius.
 
Beliau turut bermuhasabah dan mengajak pemuda berfikir mengenai pelbagai alasan yang diberikan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada Islam.
 
Bengkel kali ini juga berjaya menyuntik iltizam Pemuda PAS Perak bagi menyampaikan Islam kepada masyarakat dengan sikap sentiasa bersedia menjadi ‘government in waiting’. – HARAKAHDAILY 5/8/2019
IMG 20190805 WA0064
Advertisement