Titah Sultan Kedah menyeluruh

ALOR SETAR: Titah Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sempena Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Kedah, amat menyeluruh serta mencakupi sektor terpenting dan terkini.

Advertisement

Demikian komen ringkas Ketua Pembangkang Dun Kedah, Muhammad Sanusi Mohd Nor ketika ditemui Harakahdaily sebaik sahaja selesai majlis berkenaan di Wisma Darul Aman pagi tadi.

“Baginda banyak menyentuh isu-isu penting seperti membina tamadun pendidikan, jaminan bekalan air, alam sekitar, ‘Kedah Go Green’,  aplikasi tenaga diperbaharui dan lain-lain yang mempunyai hubung kait yang rapat dengan rakyat,” kata beliau.

Justeru itu, katanya amat wajar pesanan baginda agar pengorbanan Kedah yang menjadikan buminya sebahagian kawasan tadahan air untuk membekalkannya kepada Pulau Pinang dan Perlis perlu dipelihara dan dihargai.

“Kami Adun-Adun PAS dan pembangkang akan mengambil peluang ini sebaiknya dalam perbahasan  Usul Menjunjung Kasih yang bermula esok,” kata Adun Jeneri itu lagi.– HARAKAHDAILY 5/8/2019