Apa perkembangan terkini projek KIFT

ALOR SETAR: Projek Kedah Intergrated Fishery Terminal (KIFT) dijangka akan siap dua tahun selepas memorandum perjanjian pada 26 Jun lalu setelah tertangguh sejak 2015.

Advertisement

Menteri Besar, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir menyatakan demikian semasa menjawab soalan Ustaz Mohd Azam Abdul Samat (PAS-Sungai Limau) berkenaan perkembangan projek tersebut pada persidangan Dun Kedah, hari ini.

“Apakah perkembangan terkini projek KIFT setelah ditangguhkan sejak tahun 2015 dahulu?” soal Ustaz Mohd Azam.

Berikutan itu, dimaklumkan enam buah kapal besar yang akan beroperasi menangkap ikan tuna di Lautan Hindi telah siap sementara lokasi yang terlibat dipindahkan dari kawasan asal ke kawasan lima kilometer utara pekan Kuala Kedah.

Dalam soalan tambahan, Adun Sungai Limau memohon kepastian berkenaan status kepulauan Yan yang terdiri dari Pulau Songsong, Bidan dan Telor sekiranya diwartakan sebagai Taman Laut dan bagaimanakah nasib nelayan persekitaran untuk menjalankan aktiviti mereka.

Menjawab soalan itu, Mukhriz memberi jaminan bahawa apabila KIFT dilaksanakan kepentingan nelayan tempatan akan terjaga sama ada di sekitar Kuala Kedah dan lain-lain yang terlibat. – HARAKAHDAILY 6/8/2019