Islam dan Melayu diangkat seiring di persada kuasa

BANGI: Islam dan Melayu mesti diangkat seiring untuk dimartabat dan dinobatkan semula kekuasaan di persada negara, demikian kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Ustaz Mohd Shafie Ngah.
 
Menurutnya, PAS komited untuk bersama Umno atas misi yang sama itu, sekali gus tidak akan membiarkan PH terus berkuasa kerana jelas nyata telah menyebabkan Islam dan Melayu habis dilunyaikan oleh pakatan itu.
 
Beliau berkata demikian selepas mengetuai kehadiran delegasi PAS Kawasan Bangi ke Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bangi di Dewan Sri Warisan, Teras Jernang, di sini kelmarin.
 
Tegas beliau, kehadiran tersebut sebagai bukti PAS mahu perpaduan ummah diperkukuhkan oleh kedua parti besar ini, sekali gus menyambut saranan agar agenda itu juga digerakkan di peringlat akar umbi.
 
“Antara penyatuan bersama adalah kita menghadiri persidangan agung mereka dan mereka juga menghadiri muktamar kita,” ujar beliau yang juga Yang DiPertua PAS Kawasan Bangi.
 
Maklum beliau, PAS dan Umno Bangi akan menyusun pelbagai aktiviti bagi memastikan perpaduan ummah dapat diperkukuh, seterusnya menjadikan orang ramai turut bersedia bersama PAS-Umno.
 
Majlis tersebut telah dirasmikan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato’ Sri Tajuddin Abdul Rahman yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Salak. – HARAKAHDAILY 6/8/2019
Advertisement