Kesal PH tidak realisasi titah Sultan

ALOR SETAR: Wan Romani Wan Salim (PAS-Bukit Pinang) melahirkan rasa kesal isu perpaduan yang disentuh di dalam Titah Ucapan Tuanku Sultan tidak direalisasikan oleh kerajaan hari ini.

Advertisement

Katanya, apabila PH mula menerajui pentadbiran negara dan sebilangan besar negeri di Malaysia, kontrak sosial yang telah dipersetujui dahulu mula dirobek.

“Ketika rakyat bersatu hati ketika menentang Malayan Union suatu ketika dahulu, beberapa ketetapan telah dimeterai iaitu kaum Cina diletakkan di kawasan bandar, kaum India di ladang-ladang sementara orang Melayu di kampung-kampung.

“Namun apabila kontrak sosial mula dirobek, keharmonian kaum yang telah dikecapi sejak sekian lama mula tergugat,” ujarnya ketika membahas usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan pada persidangan Dun Kedah, hari ini.

Wan Romani berkata lagi, kelantangan sesetengah pemimpin PH dilihat sengaja merungkai kontrak sosial itu apabila berani menghina Institusi Diraja, mempertikaikan hak-hak orang Melayu serta cuba mencabuli kesucian agama Islam.

“Maka tidak hairanlah apabila penghinaan ke atas agama Islam dan Nabi Muhammad SAW semakin berani dan berleluasa dimuat turun di media sosial.  

“Saya mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Perdana Menteri Malaysia yang tegas mempertahankan empat perkara berhubung hak orang Melayu dan Islam walaupun diasak pelbagai pihak.

“Antaranya Icerd, pilihan raya PBT, Statut Rom, UEC, isu perenang Israel dan pendatang warga Afrika, LGBT dan pertahankan kedudukan Dr Zakir Naik, walaupun ada dari kalangan menterinya yang mendesak agar beliau dihantar balik ke India,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/8/2019