Lif lama perlu diganti

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) tidak terkejut dengan insiden melibatkan lif di flat PPR Kampung Kerinchi yang tiba-tiba jatuh 15 meter dari tingkat 5 ke tingkat bawah. Kami telah menekankan pada masa lepas bahawa kemungkinan berlakunya kemalangan amat tinggi memandangkan jarak tempoh pemeriksaan lif oleh JKKP adalah terlalu lama iaitu 15 bulan. Kali ini mereka bernasib baik kerana insiden itu tidak mengakibatkan kematian, hanya kecederaan.

Advertisement

MOHIDEEN ABDUL KADERMenganggap insiden itu sebagai satu kemalangan adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab. Hanya kerana kabel lif tidak putus, breknya berfungsi dan sistem komputer juga berfungsi tidak bermakna bahawa ia tiada masalah, ia hanya masalah itu yang sukar untuk dikesan.

Lif di flat PPR Kampung Kerinchi itu dikatakan berusia 12 tahun yang boleh dianggap sudah mencapai akhir hayat memandangkan jangka hayat lif ialah antara 12 dan R20 tahun bergantung kepada penggunaannya. Selain itu, penduduk mendakwa sebelum ini lif itu beberapa kali mengalami kerosakan.      

Di samping pemeriksaan JKKP setiap 15 bulan, pemilik lif itu juga sepatutnya mendapatkan kontraktor yang mendapat tauliah daripada JKKP untuk menyelenggara lif dalam tempoh masa itu. Bagaimanapun, kami menerima aduan bahawa kontraktor yang ditauliahkan oleh JKKP yang menyelenggara lif itu enggan untuk menukar alat ganti dalam lif lama walaupun ia kerap rosak dan hanya terus “menyelenggaranya”. Alasannya ialah alat ganti sukar untuk diperolehi dan lif itu “berfungsi” selepas “diselenggara”.

Bagaimana JKKP memberikan tauliah kepada kontraktor/syarikat yang bersikap seperti ini dan bagaimana JKKP boleh mengeluarkan CF bagi lif dalam keadaan ini? Sudah tentu inilah apa yang berlaku dalam kes di flat PPR Kampung Kerinchi. Jadi kenapa tidak menggantikan lif lama dengan yang baharu?

Ketika waktu kerajaan sebelum ini terdapat satu dana yang dipanggil Program Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TPIM). Kos bagi peralatan tertentu boleh disubsidikan menggunakan dana TP1M, salah satu darinya ialah membaiki dan menggantikan lif. Kerajaan akan memberikan subsidi 90% daripada kos bagi flat kos rendah dan 70% kos bagi flat kos sederhana rendah. Apa yang telah berlaku kepada dana ini?

Orang ramai perlu mengambil langkah keselamatan yang lebih serius dan ia mestilah bermula dengan pihak berkuasa. Dalam kes ini, lif perlu diperiksa oleh Pemeriksa JKKP lebih awal daripada 15 bulan dan tiada kompromi perlu dibuat oleh kontraktor bertauliah atau pihak berkuasa – lif lama perlu diganti. – HARAKAHDAILY 6/8/2019

Penulis ialah Pemangku Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.