PAS minta penjelasan perjanjian rawat air

ALOR SETAR: Muhammad Sanusi Mohd Nor (PAS-Jeneri) memohon pendirian kerajaan negeri berkenaan perjanjian konsesi rawatan air bersama Taliwork dan AUI yang akan tamat pada 2020 sama ada ditamatkan atau diteruskan.

Advertisement

“Sebelum ini berulang kali Menteri Besar, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir memberi jaminan perjanjian itu tidak disambung namun pendirian terkini perlu dimaklumkan,” kata beliau ketika mengambil bahagian dalam membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan pada persidangan Dun Kedah, hari ini.

Menurut Ketua Pembangkang itu lagi, pemakluman keuntungan Syarikat Air Darul Aman (SADA) pada tahun 2017 hanya mencatat RM420,000 setahun dan ini amat membimbang.

Sekiranya perjanjian berkenaan disambung, katanya bayaran semakin meningkat, kemungkinan pendapatan SADA akan menjadi defisit dan sama taraf dengan kedai runcit.

Sementara itu, hutang kepada PAAB sebanyak RM45 juta setahun perlu dibayar, sekiranya kegagalan melakukannya akan membuatkan SPAN mengambil alih urusan air Kedah.

“RM140 juta setahun dibayar kepada Taliwork selama 30 tahun, bayangkan hasil SADA hilang berbillion. Sedangkan SADA perlu meningkatkan pendapatan bukannya sahaja untuk menambah kewangan negeri tetapi untuk menjelaskan hutang kepada PAAB.

“Andainya SPAN mengambil alih urusan air di Kedah maka secara tidak langsung negeri ini kehilangan tiga dari perkara yang perlu dipertahankan iaitu tanah, agama dan air. Kedaulatan Kedah sebagai negeri tertua akan tercabar,” jelasnya lagi. – HARAKAHDAILY 6/8/2019