Ummah anjur Konvensyen Perpaduan Ummah 25 Ogos

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (Ummah) akan mengadakan satu Konvensyen Perpaduan Ummah yang membawa tema Ummah Berpakat Islam Berdaulat di Kuala Lumpur International Hotel pada 25 Ogos ini.

Advertisement

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, konvensyen itu diadakan bagi menyahut seruan daripada Perdana Menteri yang menyeru perpaduan umat Islam di negara ini serta inisiatif yang telah dibuat oleh PAS dan Umno serta Gagasan Sejahtera.

Katanya, objektif utama yang akan ditekankan dalam konvensyen itu iaitu untuk mengukuhkan agenda perpaduan ummah orang Melayu Islam.

“Menyokong semua usaha ke arah perpaduan ummah oleh semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), NGI yang merentasi kepartian politik.

“Seterusnya menyokong usaha semua pihak ke arah permuafakatan ummah nasional bagi mempertahankan kuasa politik Melayu Islam di negara ini,” katanya dalam sidang media di bangunan Pertubuhan Muafakat di sini hari ini.

Selain itu katanya, bagi mencari solusi terhadap segala permasalah dan ancaman yang berlaku di negara ini bagi kesejahteraan rakyat dan negara.

Menurut pengarah konvensyen, Mohd Zai Mustafa, konvensyen ini akan diadakan dalam skala yang besar yang melibatkan empat ratus NGO dan NGI dalam perbincangan pada konvensyen itu.

Katanya, konvensyen itu juga akan menangkis segala ditohmah setengah pihak yang mengatakan mengancam perpaduan kaum adalah tidak benar malah agenda tersebut untuk membawa kesejahteraan kepada negara ini.

“Dalam konvensyen itu akan diterangkan konsep perpaduan ummah, perbahasan daripada NGO dan cadangan balas daripada semua NGO yang hadir.

“Seterusnya akan menyerahkan piagam rakyat kepada pemimpin politik yang akan  bersama mengagaskan permuafakatan ummah nasional di negara kita,” ujarnya.

Jelasnya, konvensyen ini julung kali diadakan melibatkan banyak pihak seperti NGO, pemimpin parti politik, para cendikiawan, tokoh politik serta veteran politik negara.

Sementara itu, pihak Ummah turut melancarkan poster di samping memohon sumbangan dana sebanyak RM30,000 bagi menjayakan konvensyen perpaduan ummah itu. – HARAKAHDAILY 6/8/2019