Batalkan projek kuari batu kapur

ALOR SETAR: Isu Gunung Pulai, Baling akan dibawa ke peringkat nasional andai projek kuari batu kapur di kawasan berkenaan diteruskan.

Advertisement

Bercakap pada sidang media Adun-Adun pembangkang di Wisma Darul Aman tengah hari tadi, Mohd Nasir Idris (PAS-Bayu) mengharapkan agar projek yang diluluskan oleh kerajaan negeri itu dibatalkan.

“Adalah lebih baik kawasan terbabit dijadikan kawasan pelancongan berbanding projek kuari yang berpotensi mengakibatkan pencemaran alam sekitar serta merosakkan ekosistem alam semula jadi yang wajar dipelihara sebagai warisan,” tegas beliau.

Katanya lagi, beliau bersama penduduk terlibat dan orang ramai akan berusaha sedaya upaya sama ada melalui demontrasi, memorandum atau lain-lain kaedah memohon agar kerajaan menilai semula sama ada projek berkenaan lebih mendatangkan keuntungan atau kemudaratan sekiranya diteruskan.

“EIA juga mengeluarkan laporan  dari maklumat awam berkenaan 178 laporan bertulis bantahan rakyat agar Gunung Pulai diselamatkan,” jelasnya lagi. – HARAKAHDAILY 7/8/2019