Kerajaan negeri bantu mangsa kebakaran

KOTA BHARU: Tujuh keluarga mangsa kebakaran di Kampung Dusun Musa dekat sini malam kelmarin menerima sumbangan kerajaan negeri.

Advertisement

Setiap keluarga mangsa menerima sumbangan sebanyak RM3,000 yang disampaikan Menteri Besar Ustaz Dato’ Ahmad Yakob petang semalam.

Sebelum itu setiap keluarga mangsa menerima bantuan sebanyak RM300 dan seorang warga emas yang lumpuh diberi RM500 disampaikan anggota Exco Mumtaz Md Nawi.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri bersimpati terhadap nasib yang terbabit dengan kebakaran tersebut.

Katanya, bantuan yang diberi termasuk di bawah porfolio Jawatankuasa Kebajikan, Tabung Serambi Mekah dan lain-lain sumber.

“Saya minta orang ramai supaya berhati-hati menjaga persekitaran bagi mengelak kejadian sedemikian berulang.

“Anak-anak perlu dikawal agar mereka tidak bermain api dan jangan melakukan pembakaran terbuka,” katanya selepas menyampaikan sumbangan tersebut.

Pada kejadian kira-kira jam 9 malam kelmarin, tujuh keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran. – HARAKAHDAILY 7/8/2019