Muslimat Temerloh santuni keluarga Sarina di HOSHAS

TEMERLOH: Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Temerloh tampil menyantuni nasib seorang isteri dan ibu atas yang mengharungi dugaan apabila suaminya mendapat kanser usus dan hati.
 
Sumbangan khas telah diserahkan kepada isteri dan ibu tersebut, Sarina Endut oleh Muslimat PAS yang hadir menziarahi keluarga tersebut di Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS), di sini semalam.
 
Delegasi Muslimat PAS Temerloh itu dipimpin oleh Ketua, Ustazah Alawiyah Kasdan dan Pengerusi Lajnah Kebajikan, Rosidah De, serta disokong dengan kehadiran Naib Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Salamiah Mohd Nor.
 
Kisah keluarga tersebut menjadi tular di media sosial di mana Sarina terpaksa membahagikan peranannya di hospital itu turun naik ke wad menjaga suaminya dan ke lobi memantau dua anaknya yang ditempatkan di situ.
 
Pun begitu, anaknya yang masing-masing berusia 6 dan 8 tahun itu kemudiannya ditempatkan di bilik khas oleh pihak hospital setelah suaminya, Jamaluddin Uyub menerima rawatan lebih 10 hari di situ.
 
Tidak sekadar itu, keluarga ini juga menghadapi kepayahan terpaksa ‘berkampung’ di hospital tersebut kerana tiada kenderaan untuk berulang alik ke kediaman mereka di Kampung Pulau Tawar, Jerantut.
 
Lebih perit, apabila Sarina yang bekerja sebagai tukang cuci telah diberhentikan ekoran mengambil cuti terlalu lama, sekali gus menyebabkan keluarga ini turut hilang pendapatan sara hidup.
 
Apatah lagi keluarga ini bakal menempuh ujian lebih panjang di mana Jamaluddin akan dipindahkan ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan lanjut dalam masa terdekat ini.
 
Sehubungan itu, Ustazah Alawiyah menyeru orang ramai untuk turut bersama melapangkan kesusahan dunia dihadapi saudara Muslimnya di mana amal itu dijanjikan Allah ganjaran-Nya di akhirat. – HARAKAHDAILY 7/8/2019
20190807 123002
Advertisement