PAS ingatkan MCA jangan ikut provokasi DAP

KUALA LUMPUR: PAS mengingatkan parti MCA supaya tidak terikut budaya politik provokasi DAP yang tidak sesuai dengan kepelbagaian kaum di negara ini.

Advertisement

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, MCA perlu menjadi parti yang memahami konsep integrasi nasional terutama dalam isu khat.

Malahan katanya, ia tidak perlu untuk dipolitikkan seolah-olah berlakunya penindasan terhadap kaum bukan Melayu Islam di negara ini.

“MCA sepatutnya menjadi sebuah parti pertengahan tidak terikut dengan gelagat DAP yang cuba membuat provokasi yang sudah tentu tidak baik dalam masyarakat majmuk.

“Sekiranya MCA terikut budaya politik DAP, sudah tentu akan ketinggalan dari segi politik. Jangan sampai parti lain dalam komponen BN akan menolak MCA,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai kenyataan Timbalan Presiden MCA, Dr Mah Hang Soon yang meminta DAP memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menarik balik rancangan kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan.

Tegas mantan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, PAS akan lawan dengan siapa sahaja yang menunjukkan sikap provokasi yang tidak sepatutnya.

“Kita akan lawan, tidak kisah dengan siapa pun kita akan lawan sekiranya gelagat yang ditunjuk itu menimbulkan provokasi yang tidak sepatutnya termasuklah MCA sekiranya bersikap sepertimana DAP kita akan lawan,” jelasnya.

Idris berkata, MCA sepatutnya menjadi duta penyelamat untuk keharmonian dan kedamaian dalam negara kerana parti itu mempunyai banyak pengalaman sekian lama berada dalam komponen BN. – HARAKAHDAILY 8/8/2019