Sejauh mana keberkesanan Kedah Bertaddabbur?

ALOR SETAR: Kedah Bertaddabbur yang dilancarkan pada 25 Mac lalu belum dapat diukur sejauh mana keberkesanannya dan kemungkinan penilaian berkenaan dapat dibuat selepas satu atau dua tahun.

Advertisement

Exco Agama, Dato’ Dr Ismail Salleh menyatakan demikian semasa menjawab soalan Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali (PAS-Merbau Pulas) dalam sesi soalan lisan pada persidangan Dun Kedah, pagi ini.

“Saya mohon penjelasan sejauh mana keberkesanan program Kedah Bertaddabbur yang telah dilancarkan oleh Kerajaan Negeri baru-baru ini,” kata Siti Ashah Ghazali.

Beliau juga memohon penjelasan adakah kerajaan negeri meletakkan objektif program terbabit seperti  tujuan sebenar iaitu untuk menanamkan rasa takut (taqwa) kepada Allah apabila merenung melalui taddabbur, tafakum dan tafakur.

“Antara tujuan bertaddabbur ini ialah untuk merenung dan memikirkan rahsia ayat-ayat Allah serta cerita di sebaliknya sehingga boleh menimbulkan rasa takut terhadap Allah SWT.

“Oleh itu, apakah tindakan kerajaan negeri melalui program ini untuk membendung kes-kes yang melibatkan penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW yang semakin berleluasa sejak Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara,” katanya yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS negeri.

Selain itu, beliau juga memohon makluman dari kerajaan negeri sama ada terdapat SOP atau pun kitab-kitab tertentu yang ditetapkan kepada pengkuliah di masjid ekoran sering disebut berlaku aktiviti politik di institusi terbabit.  HARAKAHDAILY 7/8/2019