PH S’gor: Masing-masing mula tunjuk ‘belang’

KUALA LUMPUR: Pergolakan parti dalam kerajaan PH Selangor kini menyebabkan kegoyahan kestabilan kerajaan dan rakyat di negeri itu.

Advertisement

Ketua Penerangan PAS Selangor, Ustaz Syarhan Humaizi Halim menyifatkan suasana kerajaan PH Selangor ibarat “mana mungkin bangkai gajah dapat ditutup dengan nyiru”.

Hal ini katanya berikutan kegagalan  membina persefahaman bersama dalam blok Parti Kerajaan PH sehingga mengundang pergolakan yang besar.

“Masing-masing mula menunjuk ‘belang’. Tiada yang pelik perkara ini berlaku kerana persefahaman yang rapuh ini akibat ikatan prinsip yang tidak jelas.

“PAS sejak dahulu berpegang dengan prinsip yang jelas dan kukuh. Apa saja keadaan, Islam mesti diletak sebagai perkara utama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jelasnya, tiada yang lebih adil dalam menimbang dan menentukan suatu masalah melainkan kembali diperhalusi melalui neraca Islam.

Beliau yang merujuk kepada isu yang hangat diperbahas dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor atau di luar perbahasan berhubung isu pindaan enakmen negeri atau skim-skim bantuan kepada rakyat serta lain-lain.

Katanya, Kerajaan perlu bertegas dan mengutamakan kepentingan rakyat berbanding perbalahan dalaman parti.

“Hentikan kemelut ini dan optimumkan fokus pembangunan dan kebajikan rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/8/2019