Dr Zakir umpama permata paling berharga

KOTA BHARU: Masyarakat yang hadir pada program Jelajah Dr Zakir Naik ke Kelantan 2019 malam ini  perlu menonjolkan contoh akhlak yang baik.

Advertisement

Ketua Kumpulan Hijjaz, Isman Nadim Isam ketika ditemui juga berharap soalan yang dikemukakan peserta agar lebih berkualiti.

Katanya, soalan terbaik akan menerima jawapan yang lebih baik dari pendakwah tersohor dunia itu.

“Jawapan yang baik akan diperolehi dari soalan yang bermutu,” ujarnya.

Ini kerana, katanya program ini akan dipertontonkan di peringkat dunia sekurang-kurangnya dapat diikuti di 27 buah negara di dunia.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan persembahan pada program Santai Anak Muda di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV.

Bagi Hijjaz,  Dr Zakir Naik seumpama permata paling berharga yang wajib dijaga sebaiknya.

Katanya, beliau adalah ulama besar zaman moden ini yang mampu mempertahankan dan menyebarkan Islam secara dakwah.

“Beliau adalah daie yang membawa wadah Rasulullah dan memperjuangkan Islam zaman ini,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau mengucapkan rasa syukur kerana diundang untuk menjayakan majlis sempena kedatangan Dr Zakir Naik.

“Terima kasih saya ucapkan pada Kerajaan Negeri Kelantan kerana mengundang kami dan tahniah kerana berjaya menganjurkan program cukup istimewa ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/8/2019