Jangan cabuli sempadan Islam

ALLAH memberi amaran kepada orang yang beriman dan mendedahkan perkara yang tersembunyi di dalam hati musuh yang cuba disembunyikan, melalui firman-Nya:

Advertisement

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِّن دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيَاتِ إِن كُنتُمْ تَعْقِلُونَ (118) هَا أَنتُمْ أُولَاءِ تُحِبُّونَهُمْ وَلَا يُحِبُّونَكُمْ وَتُؤْمِنُونَ بِالْكِتَابِ كُلِّهِ وَإِذَا لَقُوكُمْ قَالُوا آمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا عَضُّوا عَلَيْكُمُ الْأَنَامِلَ مِنَ الْغَيْظِ قُلْ مُوتُوا بِغَيْظِكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ (119)] سورة آل عمران: 118[

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti daripada berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telah pun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya. (118); Awaslah! Kamu ini adalah orang-orang (yang melanggar larangan). Sebenarnya kamu sahajalah yang suka dan percayakan mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu. Kamu juga beriman kepada segala Kitab Allah, (sedangkan mereka tidak beriman kepada Al-Quran). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: “Kami beriman”, tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kamu), katakanlah (wahai Muhammad): “Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu”. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada”. (119) (Surah Aali ‘Imraan: 118-119)

Allah mendedahkan pertemuan dua kumpulan tersebut. Mereka ini sebenarnya bergabung; satu kumpulan berjenama Islam dan satu kumpulan bukan Islam.

Akhir-akhir ini muncul daripada kalangan mereka yang memberanikan diri menyentuh terhadap sensitiviti orang Islam yang beriman dan beristiqamah.
Mereka ini terdiri di kalangan bukan Islam atau namanya Islam seperti Abdullah bin Ubai pada zaman Rasulullah S.A.W. tetapi fikirannya dihanyutkan oleh arus pengaruh Yahudi di Madinah. Kedua-dua kumpulan ini adalah musuh Islam yang tidak tersembunyi lagi, termasuk yang berjenama Islam, walaupun satu bangsa dan satu bahasa. Mereka sebenarnya terkeluar daripada sempadan yang disebut istiqamah yang wajib dipohon oleh setiap yang beriman pada setiap solatnya.

Kini mereka memberanikan diri menunjukkan kebenciannya kepada Islam secara terbuka seperti isu Dr. Zakir Naik, isu jagaan anak Indira Ghandi, isu tulisan jawi dan sebagainya.

Sepatutnya mereka mengetahui sensitiviti penganut Islam dalam perkara Iman dan Islam yang tidak berpisah dalam diri seseorang Islam yang sebenar itu, kerana Islam lebih mahal daripada nyawa dan diri yang merupakan harta bagi seseorang muslim, inilah jaminan kebahagiaan yang berwawasan dari dunia sehingga akhirat, dan merupakan cita-cita bagi seseorang yang sebenarnya beriman dan muslim sejati, bahkan dalam hubungan sesama meraka juga berkaitan dengan iman.

Pada zaman Islam berdaulat, pemimpin negara mengarahkan supaya menyerang sebuah negara bukan Islam yang menghina seorang muslimat yang berniaga di pasar mereka, berani bertindak kepada sesiapa yang menghina Islam dan Rasulullah S.A.W. kerana menyentuh iman yang menjadi teras jati dirinya. Maka keimanan tidak boleh diganggu dan dicabul dalam semua perkara yang berkaitan dengan Islam.

Oleh itu, semua pihak jangan terlanjur lidah dan tulisan menyentuh sensitiviti seseorang Islam dalam semua perkara. Begitulah juga seorang Islam diajar supaya jangan menyentuh sensitiviti bukan Islam secara ilmu. Contohnya, Al-Quran mengajar orang yang beriman supaya menjaga sensitiviti bukan Islam. Firman Allah:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (108)  ]سورة الأنعام: 108[

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan”. (Surah Al-An’aam: 108)

Islam membawa konsep kebebasan dan hak beragama dengan menggalakkan berhujah bukan berperang, tetapi apabila ada pihak yang melarikan diri daripada hujah, kerana tidak mampu berhujah, atau sebenarnya tiada hujah. Maka Islam tidak boleh bertolak ansur dalam mempertahankan kebenaran yang diyakininya, walaupun dengan apa sahaja pengorbanan, sehingga cinta seseorang Islam itu kepada agamanya melebihi daripada harta dan jiwa raganya. Tidak sama dengan pihak lain yang boleh berundur dalam pegangan agama mereka dengan sewenang-wenangnya.
 
Walaupun dalam perkara yang perkara sunat dalam Islam yang boleh dibuat pilihan seperti seorang Islam boleh menyembelih ibadat korban dengan memilih lembu, kerbau, biri-biri atau kambing. Namun, disuruh menjaga sensitiviti dalam masyarakat Hindu yang memuja lembu secara ibadat, maka jangan menunjuk-nunjuk di hadapan mereka, lakukanlah secara beradab dalam hubungan bermasyarakat majmuk.

Pada masa sama, jangan pula orang Islam diharamkan secara paksa dengan undang-undang yang mengharamkan amalan agamanya, kerana boleh mencetuskan peperangan walaupun disebabkan oleh lembu seperti yang berlaku di sesetengah daerah di India.

Apa yang dicetuskan dengan berani sekarang, adalah lebih besar daripada isu lembu, maka janganlah daripada kalangan parti politik atau tokoh masyarakat bukan Islam cuba menunjukkan diri menjadi hero dalam isu ini kerana ingin mendapat keuntungan saham politik mereka, tanpa hujah yang berakal mencari kebenaran.

Al-Quran memaparkan kisah Raja Babylon bernama Namrud yang kalah berhujah menghadapi Nabi Ibrahim A.S., lalu terus menjatuhkan hukuman bunuh dibakar api yang besar, bukan kerana kesalahan Nabi tetapi marah kerana kalah berhujah atau mati hujahnya. Tindakan raja itu bukannya cara yang bijak, tetapi zalim dan bodoh.

Keharmonian berlaku dengan hujah, bukan dengan tindakan sembarangan. Perlu diketahui bahawa haram bagi umat Islam diketepikan dalam perkara dasar agamanya.

Isu Dr. Zakir Naik kerana hujah, bukan kerana melampaunya. Isu penjagaan anak Indira bukan sahaja isu makan dan minum, tetapi diambil kira jaminan roh dan akhlaknya yang tergugat dengan makanan yang diharamkan oleh semua agama, tetapi agama lain daripada Islam seringkali menghalalkan perkara yang diharamkan oleh kitab suci mereka sendiri, seperti daging babi, arak, pergaulan bebas dan lain-lain, di mana terkeluar daripada konsep kebebasan beragama yang dipertahankan oleh Islam.

Jangan gunakan mereka berjenama Islam sahaja yang dikenali sifatnya bermusuh dengan Islam, walaupun namanya Abdullah atau Muhammad, termasuk syaitan bisu yang tetap dikenali.

Tegasnya, bahawa penganut Islam yang sebenar tetap menjaga sempadan hubungan antara agama dan kaum, tetapi kalau sempadannya dilangkah, maka umat Islam diharamkan menyerah kalah.

“Islam Memimpin Perpaduan”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 8 Zulhijjah 1440 / 9 Ogos 2019 – HARAKAHDAILY 9/8/2019