Jawi: Kerajaan PH ‘U-turn’ lagi

KOTA BHARU: Kredibiliti kerajaan Pakatan Harapan (PH) terus tercalar apabila ‘u-turn’ pula cadangan memperkenalkan tulisan khat dan jawi dalam subjek Bahasa Melayu kepada pelajar tahun empat Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil.

Advertisement

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan PH membuat ‘U-turn’ lagi selepas menerima bantahan golongan yang mewakili kepentingan kaum Cina dan India.

“Sesuatu keputusan dibuat kabinet memang dibincang menjadi sebahagian polisi kerajaan dan kerajaan sepatutnya tegas dengan keputusan itu.

“Bila sekejap hendak wajibkan, sekejap hendak kecualikan jadi akhirnya kita tengok dari segi kewibawaan kerajaan akan dipertikaikan banyak pihak, saya kira ini bukan kali pertama,” katanya selepas menyampaikan kuliah di Medan Ilmu Jalan Dato’ Pati di sini pagi tadi.

Kementerian Pendidikan kelmarin pula menjelaskan belajar tulisan khat bukan paksaan sebaliknya satu usaha untuk meningkatkan kefahaman semua murid mengenai seni, warisan dan sejarah bahasa Melayu SJK Cina dan Tamil.

Tuan Ibrahim yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, tulisan khat yang diperkenalkan dalam subjek Bahasa Melayu merupakan kesenian yang menjadi identiti rakyat Malaysia.

“Kenapa kita takut sangat dengan tulisan jawi, bukan ini yang menjadikan dia sebagai orang Islam malah ada tokoh DAP seperti Dr Tan Seng Giaw mahir jawi boleh membaca serta menulis jawi dengan baik.

“Dia tidak mengubah identitinya, agamanya, ia merupakan warisan ilmu. Jadi bagi saya sepatutnya kerajaan tetap dengan keputusan memastikan dapat belajar kerana ia merupakan satu seni,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/8/2019