Ketua Muslimat selami rintihan mangsa toksik PG

PASIR GUDANG: Isu pencemaran udara disebabkan oleh kimia turut mendapat perhatian daripada Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh yang telah berkunjung menemui para mangsa, di sini semalam.

Advertisement

Beliau yang juga Ahli Dewan Negara telah meluangkan masa pada lawatan kerjanya itu menziarahi antaranya Nurumairah Syahmina Nordin, 15, di mana sebelum ini telah menerima rawatan di dua hospital.

Pelajar tersebut berkongsi pengalamannya sebelum ini menerima rawatan tiga kali di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Batu Pahat kerana disahkan oleh doktor mengalami komplikasi paru-paru dan mata.

Umairah yang hingga kini masih memerlukan rawatan susulan atas situasi menimpanya itu ditemui Nuridah bersama keluarga remaja tersebut di kediamannya di Taman Cahaya Masai, di sini.

Turut berkongsi kepahitan ini adalah Zainudin Salam, 42, yang juga telah mengalami simptom pening dan muntah pada peringkat awal, tetapi kini berlarutan ke gangguan saraf mata, ditemui di rumahhya di Kota Masai.

Ekoran itu, beliau terpaksa menggunakan kaca mata khas dan masih menjalani pemeriksaan susulan di Hospital Sultan Ismail disebabkan gangguan atas saraf mata dialaminya sejak gelombang pertama pencemaran di Sungai Kim-Kim.

Turut serta pada ziarah tersebut adalah delegasi Dewan Muslimat PAS Negeri Johor dan Dewan Muslimat PAS Kawasan Pasir Gudang yang telah menghulurkan sumbangan kepada mangsa ditemui. – HARAKAHDAILY 9/8/2019

IMG 20190809 WA0017