Musuh politik bimbang Islam dimartabat

KANGAR: Penentangan pihak tertentu terhadap pengenalan tulisan jawi dan khat di sekolah rendah membuktikan mereka bimbang Islam dimartabatkan.

Advertisement

Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin berkata, segelintir musuh melihat tulisan jawi sebahagian daripada Islam.

“Maka golongan itu tampil menentang Islam tanpa mengira ia sekadar tulisan. Sedangkan tulisan jawi bukanlah satu perkara yang utama jika nak dibandingkan syariat Islam.

“Mereka cuba mempertikai apa sahaja perkara berkaitan Islam. Situasi sekarang semakin serius. Kita harap umat Islam di negara ini peka terhadap gerakan yang cuba menyisihkan Islam dewasa ini,” katanya di sini.

Baru-baru ini 138 pemimpin DAP termasuk 13 Adun mereka mahu anggota kabinet daripada parti itu membantah rancangan berkenaan.

Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) turut membantah pelaksanaan tulisan jawi dan seni khat dalam buku teks di semua sekolah.

Kementerian Pendidikan sebelum ini menegaskan akan melaksanakan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada 2020.

Sokong Kelantan pertahan Dr Zakir

Dalam pada itu, beliau merakam ucapan tahniah terhadap usaha kerajaan Kelantan bersolidariti bersama Dr Zakir Naik.

“Tahniah saya rakam kepada kerajaan Kelantan kerana bangkit mempertahan Dr Zakir menerusi program jelajahnya ke negeri itu.

“Beliau sangat berguna, malah jatuh haram kalau kita setuju menghantarnya balik ke India seperti dikehendaki negara itu.

Oleh itu, beliau menasihatkan mana-mana pihak tidak membangkitkan masalah khilaf mengenai fahaman yang Dr Zakir anuti.

Menurutnya kita hanya boleh mempertikai pandangan yang berbeza dengan ijmak.

“Contohnya ada orang kata solat hanya tiga kali sehari, maka saat itu kita wajib pertikai.

“Yang menjadi masalah dalam kalangan kita, ada segelintir yang suka menghukum contohnya orang yang membaca qunut tidak sah solat walhal itu hanya khilaf,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/8/2019