Percaya ‘jualan murah’ PRU akhirnya berputih mata

KITA biasa mendengar orang ramai ditipu membeli barang yang dijual terlalu murah dan akhirnya barang yang diterima itu keadaannya sangat mengecewakan dan lebih teruk lagi tidak boleh dipakai. Tapi apa kaitannya dengan politik Malaysia?

Advertisement

Lupakan dulu hal jualan murah tadi. Sekarang kita nak bercerita mengenai Kerajaan PH pada hari ini. Mereka sudah terlajak kata berjanji bulan dan bintang semasa PRU 2018. Mereka pada masa itu berlumba-lumba membuat janji untuk memenangi hati rakyat.

Apabila BN berjanji untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 maka PH pun janji perkara yang sama.

Apabila BN menjanjikan untuk membincangkan semula kadar royalti petroleum kepada negeri-negeri pengeluar petroleum, tetapi tanpa menyebut kadarnya, PH pula dengan bangganya menawarkan janji untuk memberi royalti petroleum pada kadar 20 peratus kepada negeri-negeri terlibat.

Bila Dato’ Sri Mod Najib Razak menghapuskan tol Batu Tiga, Sungai Rasau, Bukit Kayu Hitam dan EDL dalam belanjawan sebelum PRU2018, PH terus berjanji menghapuskan semua tol jika PH memerintah. Malah pemimpin PH pada masa itu sempat lagi mempersendakan Najib dengan mengatakan bahawa penutupan tol itu memang sudah ada dalam perjanjian dengan kerajaan. Tapi jika PH memerintah mereka akan benar-benar menutup semua tol bukan seperti apa yang Najib lakukan.

Apa yang berlaku pada ketika itu tak ubahnya seperti pesta jualan murah yang penulis sebut di awal tadi dengan masing-masing berebut-rebut untuk menunjukkan siapa lebih pemurah. Namun begitu pada masa itu PH yang paling terkedepan memberi tawaran sangat murah. BN pula dilihat lebih berhati-hati mungkin kerana mereka sudah menjadi kerajaan dan tahu sejauh mana kemampuan sebenar kerajaan.

Royalti minyak 20 peratus sebenarnya pertama kali ditawarkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjelang PRU13 kepada Sabah dan Sarawak ketika itu untuk menarik mereka mengundi Pakatan Rakyat.

Sejak itu angka 20 peratus itu terus menarik minat bukan sahaja kepada parti pembangkang malah oleh Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak sendiri dan menuntut kadar itu kepada Putrajaya walaupun pada masa itu kedua-dua negeri ini diperintah BN. Dan kadar 20 peratus itu juga terus menjadi Menifesto PH sebagai taktik memancing undi penduduk Malaysia Timur pada PRU 2018.

Setelah berjanji untuk memberi royalti petroleum sebanyak 20 peratus dan PH sudah menang mereka mula terasa bahawa kadar itu sangat tinggi dan tidak munasabah. Tun Mahathir ketika menghadiri Majlis Sarapan Pagi Bersama Jemaah Menteri Sabah pada 17 September 2018 di Kota Kinabalu berkata “Petronas akan lumpuh sekiranya royalti 20 peratus di bayar kepada Sabah dan Sarawak”. Pada hal nada yang sama pernah disuarakan oleh Dato’ Sri Najib Razak pada tahun 2013 lagi bahawa kadar 20 peratus itu dianggap sebagai terlalu tinggi.

Setelah berjanji untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,500, akhirnya selepas hampir setahun Tun menjelaskan mengapa janji PH itu tidak boleh dilaksanakan. Dalam satu program Dialog Sempena Majlis Perhimpunan CUEPACS Bersama Perdana Menteri di UPM pada 25 Mac 2019 Tun Mahathir berkata gaji minimum yang tinggi sebenarnya tidak mampu mengatasi peningkatan dalam kos sara hidup. Ia akan menambah kos pengeluaran dan menaikkan harga barang.

Setelah berjanji untuk menghapuskan tol, akhirnya pada 8 Mei 2019 dalam sidang media sempena satu tahun Malaysia Baru di pejabatnya di Putrajaya, Tun berkata pemansuhan tol akan menjadi ‘janji tak tercapai’. Kata beliau semasa PH membuat janji, PH tidak memahami kos. Apabila sudah menjadi kerajaan baru mereka tahu bahawa untuk mengambil alih tol PLUS sahaja memerlukan RM30 bilion. Kerajaan PH berpendapat lebih baik duit itu digunakan untuk perkara lain.

Begitulah PH. Semasa pilihanraya mereka berjanji untuk memberi segala bulan dan bintang umpama jualan hebat penghabisan stok. Mereka yang berjanji, tapi setelah menang mereka juga yang akhirnya menerangkan kepada rakyat mengapa janji itu akan mendatangkan keburukan pada kerajaan dan rakyat jika ia diteruskan. Seolah-olah yang berjanji itu orang lain dan yang menerangkan mengapa ia tidak baik untuk dilakukan itu adalah pihak lain. Akhirnya rakyat yang berputih mata. Ia amat melucukan.

Sebenarnya alasan bahawa mereka tidak mengetahui kos sebenar untuk menunaikan segala janji-janji mereka itu adalah tidak munasabah dengan sebahagian besar mereka baru sahaja meninggalkan kerajaan ketika itu seperti Mukhriz Mahathir, Tan Sri Muhyidin Yassin dan Shafie Abdal. Tun Dr Mahathir sendiri adalah bekas Perdana Menteri. Tidak mungkin mereka tidak dapat sekurang-kurangnya menganggarkan kos yang akan terlibat sekiranya mereka mesti menunaikan janji-janji mereka itu.

Itu belum lagi dengan kemampuan PH mendedahkan satu demi satu skandal dalam kerajaan BN dengan maklumat yang terperinci. Tiba-tiba selepas menang mereka kata mereka tidak ada maklumat tentang kedudukan sebenar kewangan kerajaan semasa merangka menifesto dulu.

Mereka membuat janji-janji itu sebelum pilihan raya dalam keadaan mereka mendakwa Malaysia hampir muflis dikerjakan Najib sehingga rakyat merasa marah dan akhirnya mengundi PH. Bagaimana dalam keadaan mereka mengatakan Malaysia hampir muflis tapi pada masa yang sama mereka merangka menifesto dan membuat bermacam-macam janji sekiranya mereka dipilih sebagai kerajaan menggantikan BN? Mustahil mereka tidak tahu bahawa janji itu membawa kepada kesan kos.

PH umpama kontraktor yang menawarkan harga paling rendah dalam sebutharga semata untuk menang tender. Tapi disebabkan harga yang ditawarkan itu terlalu rendah dan berada di bawah kos akhirnya mereka menghadapi masalah kewangan dan tidak mampu menyiapkan projek yang telah diberikan kepada mereka .

Masihkah rakyat percaya untuk memberi mandat sekali lagi kepada parti jualan murah ini pada PRU akan datang dan terus berputih mata? – HARAKAHDAILY 9/8/2019