Polemik: Politik bukan usul akidah?

KEDUA-dua penyataan di bawah betul, tetapi yang mana satu lebih perlu diutamakan pada masa kini?

Advertisement

“Berpolitik bukan usul akidah” dan “Berpolitik yang menguntungkan Islam adalah tuntutan akidah”.

Penjelasan

Dalam keadaan umat Islam ditekan dan banyak lagi tuntutan Islam yang belum dapat dilaksanakan serta serangan liberalism yang hebat, adalah kurang bijak kalau ada yang sering mengulang-ngulang “Politik bukan usul akidah”. Walaupun ia betul pada prinsipnya, tetapi ia perlu diungkapkan dalam konteks yang betul.

Contohnya, “Kalau belajar sungguh-sungguh pun kalau tak de rezeki, tak kemana juga”. Adakah wajar ungkapan ini diucapkan oleh seorang guru besar kepada anak muridnya dalam perhimpunan pagi? Ayat ini tidak salah, cuma disebut pada tempat dan waktu yang salah.

Oleh itu, Fiqh al-Mizan (Fiqh Neraca) penting bagi seorang pendakwah untuk membuat pertimbangan yang bijak dalam mengungkapkan sesuatu yang boleh menguntungkan Islam.

Tauhid sangat penting bagi seorang Muslim kerana tauhid membentuk rasa tanggung jawab terhadap agama. Seorang Muslim yang mempunyai rasa tanggung jawab yang tinggi, akan menunjukkan komitmen dan pengorbanan untuk Allah dan rasul. Oleh sebab itu, seruan solat, puasa dan zakat bermula dengan seruan “wahai orang yang beriman”.

Dengan ini, orang yang mempunyai keyakinan yang tinggi kepada Allah akan menjalankan usaha dakwahnya dengan bersungguh-sungguh termasuklah menggerakkan dakwah dalam jalur politik.

DR MUHAMAD FAISAL – HARAKAHDAILY 9/8/2019

Sumber: https://www.facebook.com/1068608309825290/posts/2554948337857939?sfns=mo