Perutusan Aidiladha 1440H Presiden PAS

HARI Raya Aidiladha merupakan hari raya bagi menyambut dua ibadat besar bagi umat Islam iaitu ibadat haji dan ibadat korban yang telah dipaparkan oleh sosok Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail A.S.

Advertisement

Ibadat haji adalah himpunan tahunan terbesar umat Islam di kota suci yang diwajibkan kepada orang Islam yang mempunyai kemampuan. Sewaktu melaksanakan ibadat ini, umat Islam akan bertemu pelbagai bangsa dan bahasa umat Islam. Mesej perpaduan dan keharmonian yang cuba ditunjukkan oleh Allah S.W.T.

Pada Hari Raya AidilAdha juga umat Islam dituntut menyembelih binatang ternakan, sebagai simbolik mesej pengorbanan yang perlu dilakukan sebagai umat Islam terbaik atau Khayra ummah. Allah Taala berfirman:

لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَٰكِن يَنَالُهُ التَّقْوَىٰ مِنكُمْ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ (37)

“Daging dan darah binatang korban itu tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang itu bagimu supaya kamu mengagungkan Allah atas petunjuk kepadamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang berusaha supaya baik amalannya”. (Surah Al-Hajj: 37)

Allah Taala telah menjelaskan ibadat korban itu adalah cerminan kepada taqwa seseorang hamba kepada-Nya. Pengorbanan diikuti dengan ketaqwaan. Bertitik tolak daripada kedua-dua ibadat itu, kita memahami bahawa tema perpaduan dan pengorbanan terangkum dalam menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Allah Taala berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (13)

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”. (Surah Al-Hujuraat: 13)

Mudahan hari raya kali ini kita lebih berusaha menguatkan keimanan dan menambah amal soleh sekaligus tetap memelihara tanggungjawab terhadap umat Islam dan masyarakat seluruhnya. Hanya dengan Islam sahaja kita akan berjaya di dunia dan akhirat.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

“Islam Memimpin Perpaduan”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 9 Zulhijjah 1440 / 10 Ogos 2019 – HARAKAHDAILY 10/8/2019