Islam mesti kembali memimpin dunia sejagat

BULAN Zulhijjah mencatatkan pelbagai peristiwa penting yang memberi suatu semangat penyatuan umat Islam dan perpaduan ummah khususnya dalam menyambut Aidul Adha.

Advertisement

Peristiwa utama yang berlaku adalah berkaitan Nabi Ibrahim A.S menerima wahyu melalui mimpinya agar disembelih anaknya, Nabi Ismail A.S dan dengan penuh ketaatan Nabi Ismail A.S bersedia untuk disembelih oleh bapanya tanpa sebarang bantahan.

Pengorbanan bapa dan anak ini membuktikan ketaatannya akan perintah Allah S.W.T lalu diabadikan dalam sejarah umat Islam menjadi ibadah sembelihan korban yang saban tahun diadakan pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, ibadah korban dilaksanakan oleh Muslim seluruh dunia sebagai lambang kesatuan yang dituntut oleh Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai menyembelih 14 ekor lembu korban di Kompleks Pendidikan Dakwah Islamiah Malaysia (KODIM) di Jerteh, semalam.

Dr Nik Zawawi menyebutkan bahawa ibadah korban yang dilaksanakan bersamaan masa dengan umat Islam lainnya mengerjakan Manasiqul Hajj dengan berwukuf di Arafah, bermalam di Mina, melontar di Jamratul Qubra memberi makna yang besar mengenai kesatuan umat Islam dan penyatuan ummah.

Malah, ibadah haji yang syariatkan Allah itu mestilah dikerjakan di satu tempat yang sama iaitu Makkah. Justeru di sinilah dapat dilihat bahawa mereka bersatu padu di antara Muslim tanpa mengira warna kulit, putih atau hitam, berbangsa Melayu, Arab, Inggeris yang datangnya daripada seluruh pelusuk dunia.

Oleh yang demikian, besar pengajarannya kepada umat Islam keseluruhannya dan memberi mesej penting buat kita lebih-lebih lagi sejarah terdahulu membuktikan apabila bersatu, Islam menguasai dunia dan berlaku sebaliknya apabila berlakunya perpecahan.

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.”
(Ali’-Imraan:103)

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh membawakan contoh sebagaimana masyarakat Arab Jahiliyyah di zaman Rasulullah S.A.W sering berperang dan saling memuliakan kabilah masing-masing sehingga membawa perpecahan yang akhirnya umat Islam dijajah oleh Rom dan Parsi ketika itu walaupun masyarakat Arab lebih ramai.

Kemudiannya Rasulullah S.A.W apabila membawa ajaran Islam menyatukan bangsa Arab di antara Aus dan Khazraj, di antara Muhajirin dan Ansar terbukti kekuatan umat Islam menjadi kuat dan serta berjaya mengalahkan musuh-musuh Islam dengan bantuan Allah S.W.T.

Begitu juga di zaman Khalifah Saidina Umar Al-Khattab yang mengutamakan perpaduan ummah, menyebarkan dakwah Islam dengan meluas yang akhirnya Islam berjaya menguasai dua pertiga dunia di bawah pemerintahan Khalifah kedua.

Bulan Zulhijjah juga mencatatkan peristiwa yang mana Saidina Umar meninggal dunia iaitu pada 26 haribulan dan kemudiannya digantikan oleh Saidina Uthman bin Affan pada tahun 23 hijrah menyambung pemerintahan Khalifah ketiga.

Dalam pada itu Ustaz Dr Nik Zawawi menjelaskan bahawa arus kebangkitan perjuangan PAS ketika ini dengan membawa agenda perpaduan ummah adalah terjemahan kepada pengorbanan yang tersurat dan tersirat sejak Nabi Ibrahim A.S, Nabi Ismail A.S sehingga pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad S.A.W demi menegakkan syariat Allah S.W.T.

Oleh itu, beliau menyeru seluruh rakyat agar bersatu padu demi Islam agar Allah tidak menarik izzah dan nikmat kesejahteraan hidup, malah boleh berlaku penindasan atau penghinaan terhadap Islam apabila kita berpecah belah.

Beliau amat berkeyakinan bahawa perpaduan ummah yang dibina oleh dua parti terbesar Melayu di Malaysia iaitu PAS-Umno akan  membentuk kerajaan yang teguh serta akan dapat membangunkan negara dan memacu ekonomi ummah utuh di Malaysia.

Sementara itu, ambillah semangat peristiwa perjanjian Aqabah Kedua yang juga berlaku dalam bulan Zulhijjah juga iaitu pada 13 haribulan, disertai oleh 73 orang lelaki dan 2 orang wanita dari kaum Aus dan Khazraj.

Mereka berjanji dan taat setia untuk terus membantu serta menyebarkan ajaran Rasululullah S.A.W kepada penduduk Yathrib (Madinah) serta menjadi titik tolak penghijrahan Baginda Nabi S.A.W ke Kota Madinah.

Begitu juga PAS komited mengadakan perjanjian dengan parti Umno melalui Piagam yang akan direalisasikan serta dengan parti-parti dan pihak-pihak lain agar  bersatu padu untuk kesejahteraan hidup rakyat Malaysia yang lebih baik.

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”

(as-Saff:4)

Beliau juga sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS berpesan dan mengajak Muslimin dan Muslimat menghindarkan politik dendam, politik hawa nafsu atau politik semata-mata untuk berkuasa sahaja walaupun dengan tidak menunaikan janji-janji pilihanraya.

Marilah sama-sama kita mengambil semangat pengorbanan, kesatuan umat Islam dan perpaduan ummah ini untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat dan disegani dunia kerana keadilannya setelah Islam Memimpin Perpaduan secara keseluruhannya. – HARAKAHDAILY 13/8/2019