Pemuda Lumut tiga hari jelajah aktiviti korban

LUMUT: Sambutan Hari Raya Aidil Adha dirai meriah oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Lumut yang turut  menyertai aktiviti korban di lokasi berbeza selama tiga hari berturut-turut di sekitar Seri Manjung, di sini.

Advertisement

Jelajah oleh 20 petugas itu terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Lumut bersama sukarelawan amal yang dipimpin langsung Ketua Pemuda PAS Lumut, Muhammad Nizar Majid.

Jelajah hari raya pertama bermula di Surau MADAH, Fasa 1 dan selepas Zohor pula proses menyembelih dan melapah di PAS Cawangan FELCRA Gugusan Lekir sebelum pengagihan di Taqwa Green Mart.

Hari kedua pula mereka menyertai aktiviti sama di PAS Cawangan Batu 7 Lekir dan Sungai Tiram, sebelum berakhir di PAS Cawangan Fasa 2A bertempat di pekarangan Surau Al-Hidayah,  pada pagi tadi.

Rutin utama mereka sepanjang tiga hari ini adalah terlibat dalam semua kerja-kerja menyembelih, melapah hinggalah selesai pengagihan kepada golongan asnaf yang telah ditentukan penganjur.

Menurut Muhammad Nizar, beliau berharap agar momentum komitmen sama berterusan pada tahun-tahun berikutnya disamping para Pemuda memupuk dan menghayati semangat berkorban.

Hadir sama memeriahkan aktiviti di Cawangan-cawangan terbabit adalah Yang DiPertua PAS Lumut, Rasli Abdul Rahman bersama Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan termasuk dari Dewan-dewan. – HARAKAHDAILY 13/8/2019

IMG 20190813 WA0098

IMG 20190813 WA0096

IMG 20190813 WA0094