Misi dakwah PAS Keningau sempena Aidil Adha

KENINGAU: PAS Kawasan Keningau terus melebarkan misi dakwah di pedalaman dengan mengunjungi serta menyantuni penduduk di Surau Mursyidah Kampung Mamaitom, Kemabong, Tenom, di sini semalam.

Advertisement

Kunjungan ini adalah bersempena Hari Raya Aidil Adha di samping untuk menghubungkan silaturahim serta mengedarkan daging korban kepada golongan asnaf dalam kalangan penduduk di perkampungan ini.

Kunjungan ini diketuai Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah, Abdul Hisham Othman yang juga merupakan Yang DiPertua PAS Keningau di mana seusai solat Maghrib berjemaah bersama penduduk, telah memberikan tazkirah.

Beliau menyentuh berkenaan tanggungjawab umat Islam khususnya para pendakwah untuk terus menyantuni masyarakat dalam menyampaikan risalah Islam sebenar agar umat Islam dapat menimba ilmu dari guru yang betul.

Umat Islam juga serunya, mesti diajar untuk memahami tanggungjawab mereka dalam pengembangan dakwah serta mampu membawa keluarga dan masyarakat menghayati dan mengamali kehidupan mengikut garis al-Quran secara syumul.

“Umat Islam juga mesti celik politik berasaskan syariat supaya dapat memilih pemimpin mengikut neraca yang ditunjukkan oleh Nabi Muhamad S.A.W. Umat Islam wajib bersatu tanpa mengira warna kulit dan bangsa demi mendaulatkan Islam dalam keluarga, masyarakat dan negara,” tambahnya lagi.

Sebanyak 42 bungkusan daging korban telah diagihkan kepada penduduk dalam kariah Surau Mursyidah di mana wakil Surau Mursyidah mengharapkan kunjungan rombongan dakwah sebegini diteruskan pada masa hadapan.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Bendahari PAS Sabah, Abd Muein Mohammad Noor dan Setiausaha PAS Keningau, Shahid Yusof serta wakil yang merupakan perantara bagi PAS dan penduduk kampung. –HARAKAHDAILY 14/8/2019

IMG 20190814 WA0077