PASTI Kelantan terasa pemergian Hasni

KOTA BHARU: PASTI Kelantan kehilangan permata berharga apabila tenaga pengajarnya Hasni Hanafi, 46, meninggal dunia pada pukul 10.30 malam tadi.

Advertisement

Beliau meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) setelah mendapat rawatan di sana selama 20 hari.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Langgar Panchor (Kubur Pok Nik Loh) pukul 11.00 pagi hari ini.

Allahyarhamuha dipercayai meninggal dunia setelah batuk berpanjangan dipercayai berpunca masalah paru paru.

Beliau yang mula berkhidmat sebagai guru PASTI pada tahun 1996 pernah dinobatkan Tokoh Guru Pasti Negeri Kelantan pada tahun 2011.

Allahyarhamuha juga turut diberi tanggungjawab sebagai Bendahari PASTI negeri dan Pengerusi Majlis Guru PASTI Kawasan Pengkalan Chepa.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah mengucapkan takziah pada anggota keluarga.

Beliau berharap anggota keluarga allahyarham tabah menghadapi ujian kehilangan insan tersayang.

“Bakti allahyarham amat besar pada PASTI Ar-Arsyadi Panchor dan negeri khususnya dalam mendidik anak-anak,” ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha MGP negeri, Rohani Awang Lah tidak menafikan kehilangan allahyarham begitu dirasai.

Menurutnya program Alam Ria PASTI setiap akhir tahun yang dianjurkan begitu berjaya hasil kreativiti allahyarhamuha.

“Kami amat merasai kehilangan arwah seorng tenaga pengajar yang begitu berdisikasi dalam mendidik anak-anak PASTI.

“Pemergiannya seumpama kehilangan sayap sebelah, tetapi itulah ianya sudah ditakdirkan sudah tiba masanya arwah pergi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/8/2019