Tentera diperlekeh: Mana suara Menteri Pertahanan?

LUMUT: PAS Kawasan Lumut yang menjadi sebahagian warga penduduk dalam komuniti besar anggota tentera khususnya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut merasa terkesan atas perlekehan terhadap pasukan keselamatan itu.

Advertisement

Ketua Penerangan PAS Lumut, Awis Kharni Husain membidas kenyataan hartawan perniagaan, Koon Yew Yin bahawa anggota tentera hanya makan dan tidur serta tidak pernah menembak melainkan di papan sasar.

Malah, taikun yang dilihat mesra DAP dan parti-parti lain dalam PH itu bahkan turut merendahkan martabat pasukan keselamatan itu apabila berkata kerajaan sepatutnya menggunakan tentera untuk ganti pekerja asing di ladang FELDA.

“Kenyataan yang dikeluarkan itu mencerminkan pendiriannya terhadap pasukan yang mempertaruhkan nyawa sebagai benteng negara kita. Bahkan merendahkan segala pengorbanan tentera kepada negara dalam menjaga keamanan seluruh rakyat Malaysia.

“Dia juga telah menguris hati para pejuang negara yang telah banyak berjasa kepada negara. Juga menguris pengorbanan veteran dan ATM, malah ia juga adalah satu penghinaan keatas DYMM YDP Agung dan Raja-raja.

“Kerana baginda YDP Agung dan Raja raja adalah pemimpin tertinggi memegang jawatan Panglima Turus ATM Dan Panglima Kor Diraja ATM,” ujar beliau.

Oleh itu, PAS Kawasan Lumut menurutnya, mengesa agar Koon Yew Yin segera memohon maaf kepada seluruh perajurit negara dan menyesali perbuatannya itu seterusnya tidak diulangi oleh mana-mana pimpinan.

Sementara itu, Pengerusi Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera Malaysia (KERABAT) Negeri Perak, Hamidun Ahmad mempersoalkan pimpinan Kerajaan PH terutama Ahli Parlimen Lumut yang berdiam diri dengan tindakan Yew Yin itu.

“Kepada Menteri Pertahanan Malaysia khususnya, jangan diam seribu bahasa, keluarkan suara YB selaku Menteri bertanggungjawab bagi mengkritik ahli perniagaan ini serta membela para pejuang negara,” desaknya. – HARAKAHDAILY 14/8/2019