Yew Yin ada agenda hina dan benci ATM, PDRM?

KUALA LUMPUR: Semua kerajaan di dunia menghabiskan peruntukan besar mempersiapsiagakan pertahanan dan keselamatan sebagai jaminan kepada rakyat bahawa wilayahnya selamat dan aman untuk didiami, termasuk juga negara Malaysia.

Advertisement

Malah, kemakmuran dan kestabilan politik dikecapi atas peranan turut dijayakan pasukan keselamatan negara telah membina potensi untuk pelabur asing dijemput berurusan dengan para usahawan tempatan membangunan rangkaian perniagaan mereka.

Presiden Kebajikan dan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera Malaysia (KERABAT), Lt Kol (B) Nazari Mokhtar mengakui, beliau seperti tidak percaya apabila ahli perniagaan hartawan, Koon Yew Yin tergamak memperlekehkan pasukan keselamatan negara.

Taikun yang membina kekayaan di negara ini telah memuat naik di blognya menghambur angkatan tentera hanya makan dan tidur serta tidak pernah menembak melainkan di papan sasar, di mana mereka sepatutnya digunakan untuk ganti pekerja asing di ladang FELDA.

Kata Nazari, sebagai hartawan dan ahli perniagaan yang telah lama mengenali Malaysia sebagai negara berdaulat dan sebagai warganegara, Yew Yin sepatutnya menjadi duta kepada negara sendiri atas segala nikmat telah dikecapi dan diraih selama ini.

“Ini semua bukan datang percuma tetapi memerlukan perbelanjaan yang besar. Di atas semua ini adanya pengorbanan anak jati negara kita tanpa mengira keturunan, agama dan bangsa yang sanggup mengadai nyawa demi mempertahankan pertiwi.

“Walau ramai dari perwira negara ini yang terkorban demi keamanan dan kesejehteraan negara, tidak ramai yang diraikan sebagai pejuang negara. Mereka yang sedang dan telah menamatkan khidmat dari ATM dan PDRM ini adalah aset kepada negara. Tanpa mereka kemerdekaan yang dikecapi akan hancur.

“Anasir jahat termasuk ideologi Komunis akan terus dan sedang menguasai negara secara disengajakan melalui strategi tersusun yang dirancang. Mungkin tidak ramai yang menyedarinya. Tapi hakikatnya ada tangan-tangan kotor yang berani bersuara atas dasar perjuangan dalam demokrasi dan kebebasan bersuara.

“Ahli perniagaan ini saya lihat mempunyai agenda peribadi untuk menghina pejuang-pejuang negara. Jika benarlah kenyataan ini, saya yakin beliau sedang merancang sesuatu yang besar untuk menentang usaha penyatuan ummat dan rakyat negara ini dengan menimbulkan kebencian kepada ATM dan PDRM.

“Ini secara tidak langsung adalah kunci untuk menjatuhkan kewibawaan DYMM Seri Paduka Baginda Agong dan Raja-raja Melayu serta institusinya selaku Ketua Tertinggi ATM dan Kolonel Kehormat setiap Kor dalam ATM yang telah terbukti kewibaannya dalam memelihara kedaulatan dan keamanan negara,” tegasnya.

Lt Kol (B) Nazari juga memohon siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa tanpa mengira kedudukan Yew Yin demi masa depan negara dan jika perlu, ahli perniagaan itu ditahan dengan semua aset beliau disita sehingga siasatan selesai dilakukan.

Tambah beliau, dalam suasana kerajaan sedang dilanda kemelut ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mesti berani dan semua pimpinan politik wajib memberi sokongan dan berdiri bersama beliau menangani sebarang kemungkinan atau anasir.

“Kita juga menyeru pihak PDRM membantu menyegerakan tangkapan dan siasatan. Saya yakin kenyataan saya ini akan mendapat sokongan sebulat suara dari semua Panglima Angkatan Tentera dan anggota tentera dan keselamatan kita insya-Allah,” optimisnya.

Beliau berkhidmat selama 28 tahun dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), antaranya menyandang jawatan sebagai Komandan Pusat Pentadbiran dan Pengurusan TUDM dan pernah dianugerahkan Pingat Kesatria Angkatan Tentera pada tahun 2005 di Istana Negara. – HARAKAHDAILY 14/8/2019

IMG 20190814 WA0023

IMG 20190814 WA0022

IMG 20190814 WA0024