Jangan perlekeh peranan pasukan keselamatan

SAYA cukup merasa kesal masih ada warganegara Malaysia memperkecilkan peranan pasukan keselamatan yang menjadi tonggak kemerdekaan, keselamatan dan kemakmuran negara.
 
Anda boleh berniaga dan menjadi kaya raya kerana keselamatan dan kemakmuran negara. Tanpa adanya keselamatan negara, anda mungkin sedang berlindung di dalam longkang dan khuatirkan keselamatan nyawa dan keluarga. Jauh sekali mempunyai ruang untuk mempunyai empayar peniagaan dan menjadi jutawan.
 
Pelabur sejati tahu kriteria utama risiko pelaburan berkait rapat dengan soal keselamatan, keamanan, kestabilan politik.
 
Perkataan yang dikeluarkan oleh seorang ahli perniagaan yang menjadi pembiaya kepada PH kononnya tentera kita hanya ‘tidur dan makan’, ada yang tak “pernah tembak sebutir peluru pun kecuali di padang sasar” mempunyai nada yang sangat biadab dan memperlekehkan peranan tentera.
 
Jangan jadi lupa diri seperti kacang lupakan kulit. Keringat pasukan keselamatan yang berkorban sama ada di darat, laut dan udara menyumbang kepada keamanan negara.
 
Di Bulan Kemerdekaan ini kita semarakkan patriotisme dan penghargaan kepada mereka yang berkorban. 
 
Komunis mungkin berdendam dengan pasukan keselamatan. Tetapi warganegara sejati tidak akan sesekali hilang pedoman.
 
HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu – HARAKAHDAILY 15/8/2019
Advertisement