Muslimat Sarawak rai Aidil Adha di Kg Siol Kandis

PETRA JAYA: Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak dengan kerjasama PAS Kawasan Petra Jaya turut menyemarakkan Aidil Adha dengan penganjuran program korban yang diadakan di Kampung Siol Kandis, di sini kelmarin.

Advertisement

Majlis dengan kerjasama penduduk setempat yang mengorbankan seekor lembu dan dua ekor kambing ini bertujuan merayakan ibadah korban sekali gus melebar luaskan kewujudan dan peranan PAS dalam masyarakat.

Seramai lebih dari 20 petugas dan penduduk kampung terlibat bagi menjayakan kerja-kerja penyembelihan dan melapah ini di mana sebahagian besar daging korban telah diagihkan kepada 50 keluarga asnaf.

Turut diadakan gotong-royong memasak sup tulang bagi jamuan petugas dan seluruh penduduk kampung yang terlibat, selain kari kambing penaik selera jamuan pada majlis ini.

Turut hadir memeriahkan majlis adalah Yang Dipertua PAS Petra Jaya, Morshidi Hassan dan Ketua Dewan Muslimat PAS Petra Jaya, Habsah Bujang serta mantan calon PRU14, Hamdan Sani.

Penduduk Kampung Siol Kandis sangat teruja dengan pelbagai aktiviti yang diadakan menjadikan sambutan Hari Raya Aidil Adha kali ini dirai dengan penuh makna. – HARAKAHDAILY 15/8/2019

IMG 20190815 WA0009