Penduduk asal masih tidak mempunyai MyKad

MASALAH penduduk Sarawak yang tinggal di kawasan luar bandar serta bertaburan dan jauh dari pusat bandar menjadikan mereka sukar untuk memiliki kad pengenalan atau MyKad termasuk sijil kelahiran.
 
Masalah ini menyebabkan ramai orang yang berhak untuk mendapatkan bantuan kerajaan terpaksa hidup dalam keadaan yang tidak menentu kerana mereka dianggap bukan warganegara. Sebahagian daripada mereka terpaksa hidup seperti pendatang tanpa izin yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
 
Manakala warga asing yang tidak pandai berbahasa Melayu dan tidak tahu asal-usul mereka boleh diberikan kewarganegaraan, kerajaan perlu memberi perhatian kepada nasib orang-orang asal dengan memberikan mereka keutamaan sebagai warganegara yang sah.
 
Kami menerima aduan tentang nasib salah seorang penduduk di rumah Bedari, Sungai Keladan, Tatau, Bintulu yang tinggal di rumah panjang. Nama pengadu, Rantai Anak Balang yang mengadu kepada pihak kami sehingga kini dia tidak diberikan MyKad kerana dia tidak memiliki dokumen peribadi.
 
Menurut beliau, isteri dan anak-anaknya memiliki kad pengenalan diri dan sijil surat beranak sedangkan dia sebagai ketua keluarga tidak dapat memiliki MyKad. Dia ada bukti yang dia memang asal penduduk di situ dengan pengesahan dari ketua rumah panjang.
 
Menurutnya lagi, sebelum ini beliau telah meminta bantuan daripada kawan-kawannya tetapi pihak JPN masih tidak dapat membantu beliau walaupun telah dijanjikan bahawa permohonannya akan diproses. 
 
Beribu-ribu ringgit telah dibelanjakan semata-mata untuk MyKad, beliau juga meminta bantuan dari mereka yang bekerja di jabatan kerajaan untuk mendapatkan MyKad tetapi masih gagal dan hanya mengecewakan kerana tiada apa yang dapat dilakukan.
 
Kami menggesa kerajaan terutamanya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Sarawak untuk melakukan sesuatu untuk membantu rakyat Sarawak yang tidak mempunyai kad pengenalan diri diberi hak sebagai warganegara Malaysia.
 
Bantulah mereka mendapatkan hak mereka dengan memudahkan urusan mereka, walaupun mereka tidak mempunyai dokumentasi lengkap. Mereka juga berhak untuk diiktiraf sebagai warganegara kerana keturunan mereka telah lama tinggal di pedalaman Sarawak.
 
Kerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan dan mereka yang terlibat secara langsung dalam menyelesaikan masalah ini sangat dihargai.
 
JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak – HARAKAHDAILY 15/8/2019
 
Advertisement