Usir Dr Zakir: Menteri didorong sikap rasis, benci

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengecam sikap melampau segelintir menteri kabinet yang berterusan mahu mengusir pendakwah bebas Dr Zakir Naik dari negara ini. DUPP ingin mengingatkan para menteri berhubung jawapan balas Kementerian Dalam Negeri kepada YB Ahli Parlimen Kubang Kerian pada 9 Julai 2019 di Dewan Rakyat. Menurut KDN, Dr Zakir Naik masuk ke Malaysia mengikut prosedur biasa dan mematuhi undang-undang negara.

Advertisement

mohdnorhamzahOleh itu, tiada sebab munasabah untuk mengusir Dr Zakir Naik dari negara ini. Adakah kerana ucapan beliau baru-baru ini yang dipetik di luar konteks dan dieksploitasi oleh media murahan? Jika begitu, bagaimana pula dengan ucapan Kulasegaran (Menteri Sumber Manusia) yang menghina orang Melayu sebagai pendatang? Bagaimana pula dengan penghinaan taikun pro PH, Koon Yew Yin yang menghina jalur gemilang dan angkatan tentera negara Malaysia?

Sikap ‘double standard’ segelintir menteri hanya kerana didorong oleh sikap rasisme dan kebencian terhadap personaliti Dr Zakir Naik. Beliau berhujah dengan ilmu di pentas terbuka mengenai perbandingan agama. Beliau tidak memaksa masyarakat bukan Islam untuk memeluk Islam termasuk menghina anutan mereka. Mengapa menteri-menteri ini tidak mengambil kesempatan berdialog dengannya sewaktu Dr Zakir Naik berprogram di Kelantan baru-baru ini?

DUPP juga kesal dengan sikap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) yang gagal memberikan kefahaman kepada sikap melampau segelintir menteri ini termasuk dalam isu tulisan Jawi baru-baru ini. YB Menteri Agama tidak memainkan peranan yang efektif, sebaliknya menikus mendiamkan diri di saat Islam diperlecehkan oleh orang lain.  

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Adun Bukit Payung, Terengganu
14 Zulhijjah 1440 | 15 Ogos 2019 – HARAKAHDAILY 15/8/2019