Guna otak Islam, bukan perasaan benci

DR ASRI, Mufti Perlis ialah seorang tokoh yang tidaklah mesra PAS. Semenjak dahulu, kita sudah maklum. Dia juga sering atau lebih banyak membelasah PAS daripada BN atau PH. Dia pernah duduk bersama PAS dahulu, sekitar akhir 90-an, selepas balik dari Jordan. Tiba-tiba namanya naik, apabila dia berjaya mengadakan debat dengan Astora Jabat, seorang Siam yang berkerja dengan Utusan Malaysia.

Advertisement

Astora sering membelasah PAS. Dia juga mempunyai ilmu agama yang tinggi, fasih berbahasa Arab, beristerikan seorang rakyat Maghribi, tetapi ketika itu tidak menutup aurat. Jadi anda boleh faham betapa sekularnya Astora Jabat, dan betapa sukarnya mahu mengalahkannya dengan hujah-hujah lojik beliau. Dia sememangnya menjadi ‘terompah kayu’ Tun M waktu itu.

Dr Asri mendapat kredit daripada debat itu. Berduyun-duyun orang mula mendengar ceramah dan kuliah beliau. Beliau tidak menang tangan memenuhi jemputan ahli-ahli PAS yang sesetengahnya menganggap dia wira baharu dalam PAS. Biasalah, memang begitu lumrah manusia, mencari yang popular. Beliau juga berjaya mengembangkan kefahaman ilmu beliau kepada ahli-ahli PAS, sehingga sudah mula ada ketika itu pendengar yang meminta penceramah memberi dalil-dalil bila mengajar. Konon ahli sunnahlah sangat mereka itu.

Setelah itu, beliau memilih jalan untuk tidak bersama PAS. Saya pernah bertemu dengan beliau secara berdepan, tidak rasmi di sebuah pasaraya di Perlis. Ketika itu beliau memilih barang dan berada betul-betul di hadapan saya. Saya mengambil peluang bertanya kepada beliau mengenai beberapa perkara khusus politik. Dalam perbualan itu, dia secara terang memberitahu saya, dia tidak boleh menghormati Presiden PAS kerana berbagai sebab yang beliau kemukakan kepada saya. Saya hanya mendengarnya.

Pada akhir perbualan, saya meminta izin untuk Pemuda PAS Perlis membuat ziarah mahabah ke pejabatnya. Ketika itu saya sebagai Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Kangar dan rapat dengan Ketua Pemuda PAS Perlis, Ustaz Adnan Fadzil. Dia menolak dengan katanya, “takpa, takpa, tak payah mai”. Dan beliau juga berkata beliau tidak mengenali Ustaz Adnan, sedangkan mereka berkawan baik, malah isteri Ustaz Adnan, Ustazah Mariam pun beliau kenal. Begitulah tidak mesranya beliau dengan PAS.

Mengenai beberapa perkataan kontroversi yang beliau keluarkan kepada PAS, usah dicakapkanlah. Menurut satu sumber dalaman PAS, pada suatu ceramah di Arau, beliau dimaklumkan telah mengklasifikasikan PAS sebagai jemaah bughah. Setelah itu, kemesraan seperti tidak wujud antara beliau dengan PAS. Ada halangan yang sangat kukuh untuk dipecahkan.

Selalu pada hari Jumaat Dato’ Seri Shahidan Kassim akan mengadakan dialog agama dalam Perlis FM. Pesuruhjaya PAS Perlis pula ketika itu, menjadi jemputan sebagai lawan beliau. Dr Asri akan menjadi pembantu kepada DS Shahidan untuk menjawab persoalan. Sebelum beliau, mufti lama, Dato’ Alim Panglima, Jahaya Husin, ayah kepada Fathul Bari. Bila kita mendengar dialog itu, sangat berat sebelah. Tapi Ustaz Hashim tetap hadir, sekurang-kurangnya beliau boleh berceramah melalui radio. Bukan hal yang mudah.

Kecuali ketika Dr Asri saya dengar dipelawa oleh almarhum Dato’ Harun Taib untuk masuk PAS, hormat beliau kepada almarhum TGNA dan foto beliau duduk bersama jemaah ketika kuliah dhuha oleh Presiden PAS di Masjid Rusila. Yang lain beliau jelas tidak mesra PAS. Banyak isu dari PAS terutama dari Majlis Syura Ulamak (MSU) PAS, beliau akan memberikan hujah lain, yang sebenarnya tiada keperluan, kerana hujah yang dikeluarkan MSU itu berdasarkan keperluan fiqh semasa. Ia perkarafuru’tetapi beliau boleh mengelirukan orang.

Dan beliau terus bersikap mencucuk dengan PAS, yang kadang-kadang ulamak PAS tidak merasa ada keperluan melayan beliau. Tetapi kadang-kadang agak melampau. Terutama jika ada kesilapan yang PAS lakukan, menambahkan lagi hujah-hujah beliau untuk membelasah PAS. Melebihi Umno dan PH pula saya rasa untuk beberapa isu. Apa lagi sekarang, beliau mempunyai rakan sepasukan yang sangat membenci PAS. Anda pasti maklum siapa gerangan rakan beliau itu.

Namun di sebalik semua kontra itu, tiba-tiba PAS dan beliau senada dalam isu mempertahankan maruah Islam ke atas Dr Zakir Naik. PAS konsisten, malah bertambah teguh mempertahankan DZN daripada dicabar oleh puak-puak kafir yang melampau di bumi Malaysia ini. PAS juga memperlihatkan kasih sayang kepada DZN dengan cadangan oleh YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, Adun Batu Buruk, untuk menganugerahkan DZN sebagai tokoh Maal Hijrah buat kali kedua, bukan dihambat pulang.

Dr Asri juga tegas melawan semua tekanan-tekanan jahat yang dibuat oleh golongan kafir yang ekstrem di Malaysia. Beliau beberapa kali mencabar Dr Ramasamy iaitu orang yang dikatakan sebagai sebahagian daripada kumpulan Leberations Tiger of Tamil Eelam (LTTE) yang diharamkan di Sri Lanka. Walau cuba disejukkan oleh Menteri Agama (sudah tentu Menteri bersuara kerana rakan PH nya, DAP terlibat) PAS pula mengajak semua kafir ini, terutama Lim Kit Siang untuk hadir berdebat dengan DZN bagi mencari kebenaran. Tetapi mereka diam, tidak menyahut, sebaliknya terus menyerang dan menekan DZN. Dr Asri pula terus tidak berpuashati dengan layanan PH.

Jelas ia satu sikap yang telah merapatkan PAS dengan Dr Asri, demi survival dakwah, apabila beliau telah mengadakan pertemuan dengan Mursyidul Am PAS, Ustaz Hashim Jasin, bagi membincangkan beberapa perkara bagi kepentingan Islam di kediaman beliau. Saya sangat yakin, isu DZN ini adalah salah satu daripadanya. Maka jika kita umat Islam bersatu, kita pasti akan lebih kuat. Mempunyai perbezaan pandangan fiqh, tidak semestinya menolak pandangan orang lain.

Kita akan tetap boleh menyebarkan Islam dengan lebih kuat apabila perbezaan fiqh itu dicantumkan, asal ianya bukan perbezaan akidah. Kita, paling penting sekarang, menolak kejahatan yang dilakukan oleh PH atas isu-isu agama yang dilatari oleh DAP. Mereka juga tidak boleh diharap menjulang Islam. Malah Menteri Melayu Islam mereka, bagi terkatup mulut apabila ada hal yang melibatkan kerugian kepada DAP. Kelihatan tidak kisah pula jika Islam rugi.

Maka saya ingin bertanya kepada rakyat Malaysia yang Islam yang mengundi PH dahulu kerana bencikan PAS. Tidakkah kamu rasa berdosa dengan apa yang berlaku ke atas Islam sekarang? Jadi masih tebal lagikah ego kamu untuk tidak bersama kami menjadi benteng kepada Islam? Tiadakah di dalam kepala kamu, otak Islam? Atau benci kamu kepada PAS terlalu tinggi dan yang rugi umat Islam sendiri sebab kita tidak bersatu?

Sedangkan Dr Asri boleh mengenepikan perasaan tidak mahu bersama dengan PAS beliau itu terhadap PAS dan juga PAS tidak mahu membangkitkan kelakuan beliau kepada PAS sebelum ini, demi Islam. Ingat, salah satu sifat munafik ialah bermusuh sehingga melampaui atas. PAS telah, sedang dan akan menjadi benteng Islam. Sebab itu kami bangkit bersuara. Jadi apa yang Islam boleh harapkan daripada kamu? Ketika ini masih diam membatu? Apa yang menyebabkan kamu menjadi bacul? Apa jawapan kamu di akhirat nanti?

MOHD NASIR ABDULLAH
Al-Khor, Qatar
16 Ogos 2019 – HARAKAHDAILY 16/8/2019