KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) mendesak kerajaan PH khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan serta merta mengharamkan Persatuan Dong Zong.
Ia berikutan persatuan itu jelas sejak sekian lama adalah sebuah persatuan Cina yang paling ekstremis dan merbahaya untuk negara ini.
“Sepanjang masa mereka terus menerus menentang segala usaha pihak kerajaan terdahulu dan juga sekarang untuk menyatu padukan rakyat Malaysia khususnya anak-anak kita yang merupakan pewaris generasi akan datang,” kata Naib Presiden Ikatan, Tunku Muinuddin Putra Nerang Putra.
Jelasnya, penentangan Dong Zong dibuat sejak berpuluh tahun lamanya, Tun Dr. Mahathir pernah memperkenalkan konsep “Sekolah Wawasan” ketika menjadi Perdana Menteri ke-4 dahulu.
Katanya, Sekolah Wawasan berkonsepkan penyatuan semua bangsa di Malaysia di mana Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Vernakular (SJKC dan SJKT) dibina berdekatan.
“Konsep ini membolehkan anak-anak kita bercampur gaul dan berkongsi kemudahan rekreasi bersama-sama seperti padang bola, gelanggang badminton dan gelanggang bola keranjang.
“Ketika itu Dong Zong menentang idea ini. Kini, Dong Zong menentang idea pembelajaran penulisan Jawi yang diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-7. Jelas menunjukkan Dong Zong adalah golongan pendesak yang rasis,” katanya dalam kenyataan media.
Sementara itu, pihaknya turut menzahirkan kekesalan di atas kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Menterinya, Dr. Maszlee Malik yang dilihat berlembut dengan isu pembelajaran penulisan Jawi dan kesenian khat di sekolah.
Jelasnya apabila banyak keputusan telah diperkotak-katikkan oleh golongan pendesak Dong Zong yang mengeluarkan kenyataan balas yang angkuh.
Terbaru, kenyataan media Kementerian Pendidikan merujuk bahawa pembelajaran Jawi hanya dilaksanakan jika dipersetujui oleh Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid Sekolah Jenis Kebangsaan.
Walaupun katanya, pembelajaran penulisan Jawi dan kesenian khat kini menjadi pembelajaran pilihan dan dikurangkan bilangan muka surat daripada enam kepada hanya tiga muka surat.
Bagaimanapun, Dong Zong masih tidak berpuas hati hingga digelar oleh Tun Mahathir sebagai kumpulan pendesak yang rasis.
Namun begitu jelas beliau, pihaknya menyokong seratus peratus usul pembelajaran penulisan Jawi dan kesenian Khat untuk dimasukkan ke dalam silibus kerana melalui ilmu pengetahuan dan pendidikan, rakyat akan saling mengenali tanpa mengira kaum dan bangsa.
Malah katanya, masyarakat berbilang kaum yang bersatu padu dapat diwujudkan.- HARAKAHDAILY 16/8/2019