Apa ada pada Dr Zakir Naik?

PENDAHULUAN

Advertisement

Ya, tentulah banyak kelebihan yang beliau ada.

Jika tidak, masakan pelbagai ulasan, kecaman, sokongan dan kritikan yang dapat kita dengar daripada pelbagai lapisan masyarakat dalam seminggu dua ini. Ada kenyataan daripada Menteri, bekas Menteri, pihak berwajib, pemimpin politik dan pemimpin NGO. Bahkan tajuk mengenai beliau tular di media sosial dibahaskan oleh netizen.

Rakyat Malaysia sedang bercakap mengenai Dr Zakir Naik.

Mengenal pasti punca masalah

Apakah ‘masalah’ dan ‘jenayah’ yang dibawa oleh beliau sehingga beliau dimarahi dan didendami oleh sebahagian rakyat Malaysia? Apakah pula ‘kelebihan’ dan ‘sumbangan’ beliau, sehingga beliau amat disayangi dan dialu-alukan oleh sebahagian rakyat Malaysia yang lain pula?

Pandangan menganggap Dr Zakir sebagai liabiliti

Setelah diteliti pelbagai tulisan yang mahu Dr Zakir Naik ‘dihalau’ daripada Malaysia, dapat disimpulkan bahawa ceramah beliau dituduh membawa perpecahan antara kaum di Malaysia. Beliau juga dituduh sebagai faktor meningkatkan ketegangan antara penganut-penganut pelbagai agama di Malaysia.

Beliau juga dituduh merendah-rendahkan kitab suci agama-agama bukan Islam mengikut kefahaman beliau yang dangkal.

Justeru, Lim Kit Siang bapa kepada Lim Guan Eng menggesa agar beliau ‘secara sukarela’ pulang ke India. ‘Secara sukarela’ dengan maksud sedia untuk diusir daripada Malaysia.

Pandangan menganggap Dr Zakir sebagai aset

Pihak yang membela beliau pula menyangkal semua pertuduhan itu. Bahkan menurut mereka, ceramah Dr Zakir membuka peluang kepada orang bukan Islam mengenal Islam. Di mana kekeliruan dan salah faham mereka terhadap Islam sedia dijawab oleh Dr Zakir.

Golongan bukan Islam turut dijemput dan sangat dialu-alukan ke setiap ceramah Dr Zakir dan mereka diberikan peluang untuk bertanya soalan secara langsung kepada beliau. Banyak ‘soalan maut’ yang dikemukakan dalam sesi soal jawab oleh penganut bukan Islam. Tetapi dijawab dengan tenang dan berfakta oleh Dr Zakir Naik, tanpa sebarang ungkapan yang mengaibkan orang yang bertanya.

Dr Zakir tidak sekali-kali menghina kitab-kitab suci agama lain. Bahkan beliau menjelaskan dahulu kitab-kitab tersebut adalah kitab suci agama yang tertentu, kemudian memetik sebahagian kandungan kitab-kitab tersebut dengan hormat sebagai hujah untuk menyokong fakta yang dibawa oleh beliau. Menariknya beberapa persoalan yang dikemukakan oleh Islam turut diperakui oleh kitab-kitab suci agama lain, sama ada secara tidak langsung atau tidak langsung. Inilah kepakaran beliau, berhujah secara objektif dalam perbandingan agama berdasarkan sumber-sumber primer sesuatu agama itu sendiri, iaitu kitab-kitab suci dengan penuh harmoni.

Kerana itu, tidak ada kekecohan berlaku dalam ceramah beliau yang dihadiri puluhan ribu penonton, Muslim dan non-Muslim. Semuanya berjalan dengan tenang dan harmoni. Daripada awal sehingga akhir.

Nampaknya ‘kekecohan’ yang digambarkan hanya berlaku daripada golongan yang tidak hadir dan tidak mendengar ceramah beliau.

Adakah Dr Zakir seorang yang ‘rasis’?

Untuk menuduh Dr Zakir sebagai rasis bangsa, adalah tidak berasas sekali. Kerana beliau berpegang kepada ayat al-Quran mengenai semua kaum adalah manusia ciptaan Allah yang berasal daripada Nabi Adam A.S. Dan beliau sering membacanya di dalam ceramah-ceramahnya.

Firman Allah S.W.T bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”
(al-Hujurat: 13)

Beliau sendiri pun bukan keturunan Arab atau Melayu untuk dituduh rasis menyebelahi orang Melayu di Malaysia kerana faktor bangsa.

Adakah Dr Zakir seorang yang ‘fanatik agama’?

Inilah tuduhan yang dicanangkan oleh golongan yang mahu menghalau beliau daripada Malaysia.

Setakat seseorang mengatakan bahawa beliau kasih kepada agamanya dan menyakini bahawa agamanya adalah agama yang benar, tidak menjadikan seseorang itu sebagai ‘fanatik agama.’ Kerana tidak ada maknanya kita menganut sesuatu agama, yang kita sendiri meragui akan kebenarannya dan tidak pula menghormati dan menyanjunginya.

Walaupun kita meyakini kebenaran agama kita, namun kita tetap menghormati keyakinan orang lain terhadap agama mereka. Penghormatan kita pula, tidaklah menghalang kita daripada memperkenalkan agama kita kepada mereka dan menjawab salah faham mereka terhadap agama Islam. Ketika kita menerangkan mengenai agama kita, beberapa perbezaan dan persamaan dalam aspek-aspek tertentu dengan agama-agama lain akan kita huraikan untuk memudahkan kefahaman bersama. Semuanya dilakukan secara saling hormat-menghormati dan penuh objektif. Akhirnya, setiap pihak lebih memahami pendirian pihak yang lain dan bersetuju untuk tidak bersetuju pada tahap yang tertentu. Hasilnya sikap hormat-menghormati yang sebenar dapat direalisasikan, bukannya sikap prasangka yang akan mencetuskan kebencian.

Seseorang itu hanya akan menjadi fanatik agama apabila memaksa orang lain menerima keyakinannya secara membuta tuli. Atau tidak membenarkan orang lain beramal dengan ajaran agama yang dipilihnya sendiri. Atau menghalang orang lain daripada memasuki dan memakmurkan rumah ibadah agamanya. Atau sehingga merobohkannya seperti yang terjadi kepada Masjid Babri. Atau sehingga menghalau keluar penduduk yang berlainan agama seperti yang berlaku di Myanmar. Seseorang itu hanya akan menjadi fanatik agama apabila sanggup menggunakan keganasan untuk menghalau dan menakut-nakutkan penganut agama lain.

Malaysia dan fanatik agama

Di Malaysia, Perlembagaan menetapkan agama Islam adalah agama Persekutuan namun tidak menghalang agama lain daripada diamalkan. Inilah juga ungkapan al-Quran, “Tiada paksaan dalam beragama”, surah al-Baqarah ayat 256. Walaupun ummat Islam adalah golongan majoriti di Malaysia, mereka tidak pernah mengusir penduduk beragama lain daripada Malaysia.

Bidang kuasa agama Islam diletakkan di bawah kuasa SPB YDP Agong dan Sultan-Sultan. Walaupun semakin ramai yang bermulut celupar menghina Nabi Muhammad S.A.W dan menghina agama Islam, Duli-Duli Tuanku masih belum sampai ke tahap mengusir mereka daripada bumi Malaysia. Belum sampai ke tahap melucutkan taraf kewarganegaraan. Walaupun sangat jelas perbuatan mereka menunjukkan sifat ‘fanatik’ membenci agama Islam.

Berbeza pula dengan Lim Kit Siang iaitu bapa kepada Menteri Kewangan Malaysia, Menteri-Menteri DAP dan ramai Wakil Rakyat DAP, iaitu golongan minoriti yang baru saja mendapat ‘kekuasaan dalam sistem demokrasi’, yang sampai hendak mengusir ‘seorang Islam’ bertaraf penduduk tetap daripada Malaysia kerana mempertahankan agamanya? Agama yang termaktub dalam Perlembagaan sebagai agama bagi Persekutuan. Golongan ‘penguasa’ baru ini pula didokong kuat oleh beberapa NGO bukan Islam yang semakin lantang memperlekehkan kepentingan agama Islam dalam struktur Malaysia Baru.

Kenapa begitu lantang mereka mahu Dr Zakir dihantar ke India? Sebabnya kerana mereka tidak mampu berdepan dengan Dr Zakir secara‘gentlemen’.

Penutup

Jelaslah kepada kita, Dr Zakir Naik bukanlah ‘fanatik’ agama. Tetapi Lim Kit Siang dan angkatan ‘Ahzab’nya yang ‘fanatik’ dalam membenci agama Islam. Lebih wajar Lim Kit Sianglah yang pulang secara sukarela ke Zhangzhou, Fujian seperti yang dicadangkan oleh YB Ahmad Fadhli Shaari.

ZAKARIA ISMAIL
Marang, 18 Ogos 2019 – HARAKAHDAILY 18/8/2019