Bencana alam ‘ladang’ untuk mengaut pahala

TASEK GELUGOR: Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Kawasan Tasek Gelugor telah membaik pulih dan menaikkan sejuma khemah-khemah yang rosak dilanda ribut di PASTI As-Solihin, Pajak Song, di sini kelmarin.

Advertisement

Usaha tersebut bagi memastikan aktiviti pembelajaran dan pengajaran di premis pra-sekolah ini kembali berlangsung seperti sedia kala setelah berakhirnya cuti persekolahan selama seminggu hari ini.

Inisiatif tersebut diketuai sendiri Komandan AMAL Tasek Gelugor, Nazrul Ali bersama Ahli Jawatankuasa PASTI yang juga hadir bagi melicinkan persiapan PASTI As-Solihin untuk murid-murid kembali belajar.

“Jangan jadikan musibah itu satu bebanan, bahkan cuba fikir positif yang Allah mahu sediakan ruang kepada kita untuk terus beramal. Kerana setiap kali musibah melanda, pasti kita sama-sama meraih pahala membantu mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Selain kerosakan khemah, bidasan ribut baru-baru ini turut menyebabkan sedikit kebocoran dan kerosakan struktur pada premis PASTI ini, namun sudahpun dibaik pulih untuk keselesaan warganya. – HARAKAHDAILY 19/8/2019