Isu Dr Zakir: Exco Kedah bercanggah, PH celaru

ALOR SETAR: Percanggahan pendirian dua exco Kerajaan PH Kedah berkenaan tokoh pendakwah terkenal, Dr. Zakir Naik menggambarkan kecelaruan pakatan tersebut sama seperti yang berlaku di peringkat Kerajaan Pusat.

Advertisement

Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya berkata, di peringkat Pusat, DAP menyerang dan mendesak supaya  dihantar balik namun satu pihak lain di dalam pakatan yang sama mempertahankan beliau.

“Ini cukup jelas menunjukkan kecelaruan dasar dan budaya pentadbiran negara yang tidak sihat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, PAS Kedah khususnya berpendapat Dr Zakir Naik adalah amanah Allah untuk umat Islam di Malaysia dan merupakan aset yang amat berharga untuk negara.

Tambahnya, keupayaan dan kebolehannya sewajarnya dihargai serta dimanfaatkan, bukannya disekat atau dinafikan.  

“Tokoh tersebut bukanlah punca tercetusnya masalah sebaliknya pemutar belit dan pemberitaan tidak betul berkaitan kenyataannya yang menjadikan keadaan menjadi tegang,” ujarnya lagi.

Justeru itu, tegasnya PAS Kedah mencabar Exco Agama, Dato’ Ismail Salleh agar tunjukkan apakah kerosakan yang dibawa oleh Dr Zakir Naik sehingga dihalang kononnya menjaga keharmonian kaum.

Beliau berkata, Exco itu juga diingatkan agar jangan mengkambing hitamkan tokoh terkenal itu dengan pelbagai provokasi murahan.

Katanya, sedangkan realiti sebenar yang menimbulkan ketegangan kaum adalah hasil bawaan DAP, bukannya Dr Zakir malah berkemungkinan besar halangan itu kerana patuh dan akur dengan kehendak parti terbabit.

PAS, katanya meyakini masyarakat bukan Islam tidak akan membenci agamawan itu sekiranya mereka menerima maklumat yang betul bukannya yang diputar belitkan sehingga menimbulkan kebimbangan di kalangan mereka.

Sehubungan itu, tambahnya PAS Kedah menyokong penuh tindakan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah membuat laporan polis  terhadap menteri dan media yang cuba mencetuskan ketegangan agama serta kaum di negara ini.

“Tindakan berkenaan juga sebagai bukti PAS menghormati undang-undang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menangani isu yang ditimbulkan dengan cara yang baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/8/2019