Mesyuarat MSU putuskan empat perkara penting

KUALA LUMPUR: Majlis Syura Ulamak (MSU) yang bersidang semalam bersetuju memutuskan empat perkara penting berkaitan isu semasa negara dan dakwah Dr Zakir Naik.

Advertisement

Mursyidul Am PAS, Dato’ Hashim Jasin berkata, PAS mendukung kemakmuran hidup masyarakat majmuk dan keharmonian kaum dalam negara ini.
 
PAS turut menegaskan kepentingan memeliharanya daripada sebarang ancaman oleh mana-mana pihak.

Selain itu, katanya Dr Zakir Naik sebagai pendakwah Islam profesional yang berhujah secara ilmiah dan akademik menyampaikan Islam menerusi dialog perbandingan agama mesti dipertahankan daripada segala bentuk ancaman melibatkan keselamatan dirinya.
 
“Majlis Syura Ulamak juga menegaskan bahawa kenyataan pimpinan DAP adalah punca kepada segala pertembungan antara kaum dan agama yang sedang berlaku dalam negara termasuk dalam isu Dr Zakir Naik.

“Mereka juga membangkitkan isu-isu sensitif lain melibatkan Islam dan Melayu termasuk isu tulisan Jawi, penghinaan kepada Raja-raja Melayu, isu menghina tentera dan desakan oleh menteri DAP untuk Dr Zakir Naik diusir keluar dari negara ini,” tegas beliau.

Seterusnya, Majlis Syura Ulamak turut mengutuk kegagalan Menteri Kewangan dari DAP yang gagal menangani isu ekonomi negara yang menyebabkan penderitaan rakyat berbilang kaum yang sangat serius.

Menurutnya, DAP secara sengaja cuba mencetuskan isu-isu lain yang sensitif semata-mata untuk menutup isu besar kegagalan ekonomi negara. – HARAKAHDAILY 18/8/2019