Tidak akan duduk diam serangan terbaru DAP

KUALA LUMPUR: PAS Negeri Selangor berpendirian teguh mempertahankan Dr Zakir Naik serta mengecam tindakan DAP untuk mengusir pendakwah antarabangsa itu.

Advertisement

Menurut Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi umat Islam yang waras akal dan mempunyai rasa keimanan pasti tidak akan duduk diam terhadap serangan terbaru DAP yang semakin melampau apabila memberi tekanan untuk mengusir Dr Zakir Naik dari Malaysia.

Katanya, jelas kelihatan apabila isu tekanan pengusiran Dr Zakir Naik semakin hari semakin diperbesarkan sama ada menerusi kenyataan pimpinan DAP.

Malah katanya, beberapa himpunan jalanan turut diadakan bagi menunjukkan ketidaksetujuan kaum India khususnya terhadap Dr Zakir Naik yang diberi perlindungan dalam negara Malaysia.

“Umat Islam merupakan ummah yang bersaudara merentasi perbezaan warna kulit, sempadan geografi serta jalinan darah kaum kerabat kekeluargaan nasab. Umat Islam dihubungkan ikatan persaudaraan dengan ikatan akidah.

“Hakikatnya kebiadapan DAP terhadap Islam sangat jelas. Bukan sahaja kecaman pada Dr Zakir Naik, Negeri Selangor sendiri,” katanya.

Jelas Ahli Dewan Negeri Sijangkang itu, Selangor kini berdepan dengan sikap pimpinan DAP secara lantang mengkritik dan menolak rang undang-undang di Dewan Undangan Negeri (Dun) yang mencadangkan untuk membenarkan penukaran agama kanak-kanak bawah umur secara sepihak oleh salah seorang daripada ibu bapa mereka.
 
“Jika DAP terus biadab dengan tindakan-tindakan yang diambil tersebut, ibarat kata Tuan Guru Presiden PAS ‘jangan merempuh lampu merah’.

“Hak ikatan persaudaraan Islam mengatasi warganegara dan merentasi sempadan negara dan bangsa,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 18/8/2019