Henti sebar naratif palsu tragedi arwah Syed Danial

HULU LANGAT: Kehidupan bermasyarakat menuntut sempadan maruah dan air muka pihak lain turut dijaga antaranya tidak merekayasa cerita, dakwaan, tuduhan bahkan fitnah yang sememangnya membawa kesan buruk.

Advertisement

Begitu juga tragedi melibatkan kematian Allahyarham Syed Muhammad Danial Syed Syakir akibat dipukul di lebuh raya beberapa minggu lalu tidak wajar dispekulasi hingga membentuk naratif tidak benar dan menyimpang dari kejadian asal.

“Rasulullah telah memberi amaran mengenai tahun-tahun penuh tipu daya di mana dipercayai para pembohong dan orang yang bercakap benar dianggap pembohong.

“Islam ada SOP dalam menerima berita iaitu jangan menerima berita melainkan setelah diselidik. Apa lagi dari golongan fasik. Yang berlaku sekarang terutama di media maya, bila dengar desas desus, dengarreport yang tak tahu benar atau palsu, terus sebar.

“Apa yang perlu kita lakukan ialah bersangka baik dan dapatkan penjelasan bukan menghukum dengan sekeping gambar,” demikian nasihat Ketua Muslimat PAS Negeri Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan.

Beliau bersama delegasi hadir menziarahi keluarga mertua Allahyarham bagi menyampaikan rasa simpati dan peduli terhadap isu tersebut serta merakamkan takziah di Bandar Bukit Mahkota, di sini semalam.

Pertemuan tersebut disambut ibu dan bapa mertua Allahyarham iaitu Elina Mustapha dan Rozhan Ramlee yang turut berkongsi naratif sebenar kejadian, namun redha dengan pemergian tersebut apatah lagi jenazah mudah dan tersenyum ketika diuruskan.

Pun begitu, sebagai manusia biasa, mereka tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa apabila media masih menyebar laporan berdasarkan perspektif suspek yang tidak benar dan telah disangkal banyak pihak.

Kunjungan tersebut turut memberi harapan agar keluarga tersebut terus bersabar dan dikurniakan rahmat Allah, serta mendapat pengadilan selayaknya atas kejadian menimpa menantu mereka itu. –HARAKAHDAILY 19/8/2019